Kisah Persaingan Untuk Menguasai Emas Venezuela - Market Demon

Friday, February 8, 2019

Kisah Persaingan Untuk Menguasai Emas Venezuela


Persaingan antarabangsa untuk mengawal emas Venezuela sedang berlaku. Apa yang dipertaruhkan adalah masa depan politik negara itu dan pasaran global untuk rizab minyaknya. Dalam satu usaha yang terdesak, ketua kerajaan Venezuela, Nicolas Maduro telah memusnahkan rizab emas negaranya. Negara yang kaya dengan minyak itu pernah memiliki rizab emas lebih daripada 160 tan. 

Tetapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Venezuela telah menjual puluhan tan emas kepada sekutunya seperti Turki, Emiriah Arab Bersatu, dan Rusia sebagai pertukaran untuk mendapatkan Euro dan mata wang lain yang diiktiraf dunia. Tiada siapa yang berminat untuk menjalankan perniagaan antarabangsa dalam mata wang Venezuela, Bolivar. Malah rakyat Venezuela telah membuang Bolivar untuk mendapatkan cryptocurrency dan mata wang alternatif yang lain rentetan dari kadar inflasi di negara itu yang mencecah angka tidak masuk akal, 1,000,000%.

Walaupun kerajaan Venezuela sibuk menguruskan hiperinflasi dan rakyatnya, mereka tetap memegang emas dalam simpanan bagi mengekalkan keyakinan para pemiutang asing termasuk Rusia dan China. Pemiutang asing secara efektif boleh meminta pembayaran dalam emas melalui penukaran emas Venezuela ke dalam mata wang pilihan mereka.

Selama beberapa bulan ini, Presiden Maduro telah cuba mendapatkan semula emas bernilai $1.2 bilion yang di simpan dalam peti besi Bank of England. Takut terhadap tindak balas dari Amerika Syarikat yang telah mengenakan sekatan ekonomi di Venezuela, Bank of England menolak permintaan untuk mengembalikan emas Venezuela. Kerajaan Maduro mendakwa bahawa emas mereka telah disita secara haram dengan melanggar norma-norma yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Juan Guaido
Pesaing politik Maduro yang didukung oleh Amerika Syarikat, Juan Guaido, turut menuntut agar Bank of England menyerahkan emas itu kepadanya. Guido adalah seorang yang tidak berpengalaman dalam politik Venezuela. Walau bagaimanapun, beliau telah diiktiraf oleh Amerika Syarikat sebagai Presiden sementara Venezuela walaupun Guaido tidak menubuhkan kerajaan atau menyingkirkan Maduro dari kuasa.

Jika Guaido mendapat kawalan ke atas emas Venezuela, hayat politik Maduro akan sampai ke penghujung. Pemiutang antarabangsa seperti Rusia dan China mungkin akan mula meninggalkannya. Pegawai Amerika Syarikat telah menawarkan Guaido akaun melalui Federal Reserve Bank of New York dalam usaha membantunya menubuhkan legitimasi kewangan. Langkah tersebut pastinya berguna ketika cuba membentuk kerajaan baru.

Pada masa yang sama, kerajaan Amerika Syarikat cuba untuk membunuh Maduro secara kewangan dengan mensasarkan pihak yang mengendalikan emas Venezuela. Senator Marco Rubio memberi amaran kepada pegawai Emiriah Arab Bersatu pada hari Khamis lalu supaya tidak memindahkan emas Venezuela. Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton berkata,


Nasihat saya kepada bank, broker, pedagang, fasilitator dan perniagaan-perniagaan lain, jangan berurusan dengan emas, minyak atau komoditi yang dicuri oleh mafia Maduro dari rakyat Venezuela. Kami bersedia untuk terus mengambil tindakan.

Elliot Abrams
Setiausaha Negara, Mike Pompeo, telah melantik Elliott Abrams untuk memantau perubahan rejim di Venezuela. Abrams mempunyai latar belakang yang terkenal sebagai salah seorang arkitek utama perubahan rejim di Iraq. Sebelum itu, beliau pernah membantu membiayai pejuang gerila di El Salvador, Guatemala dan Nicaragua. Beliau juga pernah disabitkan dengan jenayah atas peranannya dalam membantu pembiayaan haram pemberontak Contra di Nicaragua.

Venezuela mungkin menjadi pengajaran kegagalan sosialisme, Marxis dan ideologi anti-Amerika di rantau Amerika Latin. Tetapi seluruh dunia juga akan menyalahkan sekatan Amerika Syarikat dan pencerobohan imperialis lain untuk memusnahkan Venezuela.

Sekatan Amerika Syarikat terhadap emas Venezuela menimbulkan kebimbangan serius mengenai kepercayaan dalam sistem kewangan global. Persoalannya, sekiranya Bank of England dapat merampas emas dari kerajaan Venezuela yang berdaulat, adakah emas milik sesiapa sahaja yang berada dalam mana-mana sistem perbankan global terjamin keselamatannya?


"He who controls the gold makes the rules."

Jangan lupa ikuti Twitter Market Demon


No comments: