Pasaran Buruh Kanada Melampaui Jangkaan - Market Demon

Friday, February 8, 2019

Pasaran Buruh Kanada Melampaui Jangkaan


Pasaran buruh Kanada pada bulan Januari menyaksikan peningkatan pekerjaan yang melampaui jangkaan dan membuka jalan untuk Bank of Canada (BOC) meningkatkan kadar faedah selanjutnya. Bilangan individu yang bekerja di Kanada meningkat sebanyak 66,000 pada bulan Januari. Menurut Statistics Canada, peningkatan itu melebihi kenaikan pada bulan Disember iaitu 9,300 dan jangkaan peningkatan pada bulan Januari hanya 8,000.

Agensi itu juga melaporkan kenaikan mendadak dalam bilangan individu yang mencari pekerjaan. Itu yang menyebabkan keseluruhan tenaga buruh berkembang, menolak kadar pengangguran sehingga 5.8%. Data yang dikeluarkan sedikit lebih tinggi daripada jangkaan, iaitu 5.7%. Kadar pengangguran mencecah paras terendah dalam tempoh 4 dekad sebanyak 5.6% pada bulan November.

Dolar Kanada (CAD) mengukuh sejurus data ekonomi dikeluarkan, meningkat hampir 1 sen berbanding US Dollar selepas merosot pada minggu lalu kesan dari nada dovish oleh Gabenor BOC, Timothy Lane. Lane telah memberi amaran bahawa ketidakpastian mengenai perdagangan Amerika Syarikat telah memberi kesan kepada Kanada. Data terbaru dalam pasaran perumahan Kanada juga menunjukkan semula momentum selepas kelembapan mendadak pada separuh kedua tahun lepas. 

Selain itu, bank pusat Kanada telah menaikkan kadar faedah sebanyak 1.25% sejak Julai 2017 tetapi tidak meneruskan kenaikan pada mesyuarat terakhir yang berlangsung pada 9 Januari. Penganalisis sebelum ini menjangkakan BOC akan mengekalkan kadar faedah sedia ada pada 6 Mac nanti. 

Jangan lupa ikuti Twitter Market Demon

No comments: