Rusuhan Natrah 1950 (Bhgn 1) - Market Demon

Monday, April 9, 2018

Rusuhan Natrah 1950 (Bhgn 1)


Selamat menjalani hari Isnin buat semua pembaca  Market Demon. 

Rata - rata di sosial media rancak berkisar perihal polemik politik Tanah Air bersempena Pilihan Raya Umum yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi. Untuk artikel kali ini penulis ingin membawa anda mengimbas satu peristiwa sejarah yang mempunyai kesan besar dalam sejarah Tanah Melayu dan Singapura. Kes yang bukan saja berkisar perihal penukaran agama seorang anak gadis Belanda yang membesar sebagai wanita Melayu tetapi juga menyebabkan berlakunya satu rusuhan besar pada tahun 1950 dikenali Rusuhan Natrah. 

Mungkin antara anda pernah mendengar cerita perihal anak gadis Belanda ini yang menjadi anak angkat keluarga Melayu di Terengganu. Kemudian, pada usianya 13 tahun, beliau dipaksa pulang ke pangkuan keluarga kandung di Belanda. 

Asalnya, hal ini melibatkan isu penjagaan Natrah tetapi bertukar menjadi isu agama. Ini kerana, ibu bapa Natrah tidak bersetuju atas penukaran agama beliau dan memaksa beliau kembali ke agama asal. Hal ini mencetuskan berlakunya Rusuhan Natrah pada tahun 1950. 

Jom kita telusuri sedikit sebanyak latar belakang seorang anak gadis bernama Natrah di bawah. 



LATAR BELAKANG NATRAH 




Nama Islam : Natrah Maarof 

Nama Asal : Huberdina Maria Hertogh 

Tarikh Lahir : 24 Mac 1937 di Kepulauan Melayu di Bandung. 


Ibu bapa kandung Natrah petikan dari buku Natrah : In the Name of Love 



Nenek Natrah yang juga merupakan rakan kepada Che Aminah 


Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Katolik, Natrah telah dibaptiskan oleh seorang paderi Katolik dalam tahun yang sama. Bapanya, Adrianus Hertogh, adalah seorang sarjan dalam Tentera Belanda. Ibunya Adeline pula adalah seorang Serani berketurunan Scotland dan dibesarkan di Jawa. Ibunya Adeline mempunyai anak yang ramai disebab itu beliau memberikan Natrah ketika usianya 5 tahun kepada seorang perempuan Melayu bernama Che Aminah seorang peniaga barang kemas dan juga penterjemah untuk askar Jepun. 

Ketika Che Aminah dan Natrah masih tinggal di Bandung sekitar tahun 1940an, waktu itu suasana agak tegang disebabkan masyarakat Indonesia bencikan penjajah. Disebabkan sentimen anti-penjajah yang kuat ini jugalah, Che Aminah merasa bimbang dan telah berpakat untuk berpindah ke Kemaman, Terengganu. Che Aminah terpaksa membelanjakan hampir 50,000 Dollar Singapore untuk berpindah dari Bandung ke Kemaman dengan menaiki kapal stim. Kepala Natrah juga turut di botakkan dan dilumurkan minyak hitam seluruh badan semata-mata untuk melindungi identiti luaran Natrah sebagai seorang anak gadis berkulit putih. 

NATRAH DIRAMPAS PIHAK BRITISH 

Selepas berjaya pindah ke Malaya, pihak British pula melakukan cubaan merampas Natrah semula. Che Aminah diarah untuk membawa Natrah ke Singapura dan beliau ditawarkan wang sebanyak 500 Dollar bagi serahan itu 

Namun begitu, Che Aminah tidak membenarkan perkara ini kerana rasa sayang yang tinggi kepada Natrah. Akibat keengganan Che Aminah untuk menyerahkan Natrah kepada pihak British beliau diperintahkan pihak Mahkamah British untuk meletakkan Natrah di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura (SWD).

Selepas sebulan diserahkan, Natrah kemudiannya telah berpindah hak jagaan ke Konsul Jeneral Belanda di Singapura. Natrah yang sebelum ini kebiasaannya sering memakai baju kurung telah mula dipakaikan gaun yang mana ini tidak disukai oleh Natrah sendiri. Ketika dipisahkan daripada Che Aminah, terjadilah drama air mata; 

“Aminah mak saya. Mak sayang saya tak? Kalau mak sayang saya, jangan tinggalkan saya, jangan bagi lelaki ni bawa saya”-Natrah ketika dibawa pergi oleh Duta Besar Belanda di Singapura 

Insiden selama 15-20 minit ini mula membuka mata ramai pihak lebih-lebih lagi apabila Che Aminah mula meminta tolong dari orang di sekelilingnya untuk mengembalikan Natrah kepadanya. 

Penubuhan Tabung Natrah Bagi Kes Rayuan 

Natrah’s Legal Aid Fund ditubuhkan untuk membantu kes rayuan Che Aminah. Pihak yang bertanggungjawab adalah Muslim Welfare Associations of Singapore. Che Aminah memenangi kes pada mulanya disebabkan mahkamah mendapati bahawa tuntutan Konsul Jeneral tidak berasas sama sekali kerana bertindak bukan bagi pihak keluarga asal Natrah tetapi lebih kepada jawatannya sebagai Konsul bermotif peribadi dan lambang kuasa sebagai 'penjajah' tercabar dek faktor politik selepas perang dunia kedua yang mana Indonesia telah berjaya ditawan oleh Jepun. Kerajaan Belanda dan Organisasi Gereja Belanda di sana mendesak ibu bapa kandung Natrah untuk mengambil semula anak mereka daripada Che Aminah. 




P/S: Cerita ini turut di bukukan dalam “Natrah: In The Name of Love” penulisan Fatini Yaacob, diterbitkan oleh Penerbit Universiti Teknologi Malaysia).