Di Market Demon, kami percaya bahawa salah satu cara terbaik untuk membiakkan wang anda adalah melalui pelaburan. Anda bekerja keras untuk wang anda, kenapa anda tidak biarkan wang anda bekerja untuk anda? Walau bagaimanapun, ramai yang panik apabila mendengar perkataan pelaburan. Di Malaysia, pelaburan sering dikotori dengan skim money game. Tidak kurang juga, ramai yang mendapati pelaburan adalah sesuatu yang sukar dan sangat berisiko.
Pelabur terbaik dunia menggunakan pendekatan yang mudah selama bertahun-tahun. Masing-masing mempunyai pendekatan sistematik. Malah, falsafah dan gaya pelaburan mereka mungkin mengejutkan pelabur baru. Nama-nama yang kami senaraikan ini sinonim dengan pasaran kewangan. Selamat membaca!
8. Sir John Templeton
Buy low sell high, John Templeton, salah seorang pelabur yang dikenali kerana keberaniannya mengambil risiko membeli saham yang tidak mempunyai nilai di mata pelabur lain. Pada tahun 1939, Templeton meminjam wang dan dengan berani melabur ke dalam 100 saham. Sebahagian besar syarikat yang dipilihnya berada di ambang muflis. Walau bagaimanapun, beliau melakukannya dengan berhati-hati dan tidak menghabiskan lebih dari $100 untuk setiap saham yang dibelinya.
Keberanian Templeton terbayar dan beliau akhirnya menjual semua saham miliknya. Beliau menggunakan strategi pelaburan ini sepanjang kariernya. Kerap memilih saham yang diabaikan oleh pemain lain dan beliau berjaya mengubah pelaburan yang kecil menjadi jutaan dolar. Strategi ini membantu beliau menjadi pelabur yang sangat berjaya.
John Templeton adalah seorang "perisik" yang bijak, beliau menggunakan semua kenalannya di Wall Street untuk mendapatkan data pelaburan yang berharga, kemudian data itu digunakan untuk menganalisis portfolionya. Pada tahun 2008, Sir John Templeton meninggal dunia. Tetapi legasinya terus hidup melalui yayasan yang diasaskannya. Ya, beliau seorang dermawan. Setiap tahun Templeton World Charity Foundation menawarkan berjuta dolar biasiswa dan geran.
Melabur Seperti John Templeton :
- Buy low, sell high.
- Beri perhatian pada "syarikat" yang diabaikan oleh pemain pasaran lain.
- Sabar.
7. Philip Fisher
Kerap menggunakan pendekatan "Buy & Hold," Philip Fisher dikenali sebagai "The Father of Growth Investments." Pada tahun 1955, beliau membeli saham Motorola yang dilihatnya mempunyai potensi untuk terus berkembang. Bercakap tentang komitmen, Fisher masih memiliki saham itu ketika beliau meninggal dunia pada tahun 2004.
Fisher berteori bahawa untuk menjadi seorang pelabur berjaya, adalah lebih baik untuk tidak menggunakan kaedah diversify tetapi mengenalpasti beberapa syarikat dengan baik. Sama seperti Templeton, Fisher seorang networker yang bijak, beliau menggunakan kenalannya untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai sesebuah syarikat sebelum melakukan pelaburan.
Fisher menulis beberapa buah buku tentang strategi pelaburannya termasuk buku Common Stocks and Uncommon Profits yang saya kongsikan dalam artikel sebelum ini. Kebanyakan hasil kerja beliau masih dikaji oleh para pelabur profesional hari ini.
Melabur Seperti Philip Fisher :
- Pilih syarikat yang mempunyai potensi untuk berkembang.
- Invest untuk jangka masa panjang.
- Maklumat adalah kunci.
6. Benjamin Graham
Dikenali sebagai "The Father of Security Analysis & Value Investing," falsafah utama Benjamin Graham adalah berpunca dari prinsip bahawa pelaburan hanya boleh dibuat sekiranya ia lebih bernilai dari risikonya. Graham mencari syarikat yang mempunyai sedikit hutang, margin keuntungan yang tinggi dan cash flow yang besar.
Graham sedar bahawa turun naik dalam pasaran tidak dapat dielakkan dan boleh menjadi kelebihan sekiranya sesuatu syarikat itu kukuh walaupun lemah dalam pasaran. Beliau sering menggunakan analogi Mr. Market untuk menggambarkan pergerakan dalam pasaran.
Benjamin Graham meninggal dunia pada tahun 1976 tetapi masih disanjungi sebagai tokoh dalam dunia pelaburan moden. Beliau telah menulis dua buah buku pelaburan terkenal sepanjang masa, Security Analysis dan The Intelligent Investor.
Melabur Seperti Benjamin Graham :
- Hanya melabur apabila ada kepastian bahawa sesuatu pelaburan itu lebih bernilai dari risiko yang wujud.
- Jual apabila sudah overvalued.
- Tahu bahawa pasaran sentiasa ada turun naik.
5. Peter Lynch
Sepanjang 13 tahun Peter Lynch menguruskan Fidelity Magellan, asetnya meningkat dari $ 20 juta hingga $ 14 bilion. Sama seperti chameleon, strategi pelaburannya adalah mengadaptasi dengan sifat aset. Lynch, seorang yang bekerja keras, mempunyai falsafah yang sekiranya diikuti, pelabur biasa boleh mendapat pulangan yang luar biasa. Selepas melakukan penyelidikan yang menyeluruh, Lynch hanya akan melabur dalam saham yang beliau fahami sahaja.
Sebagai pelabur, beliau mempunyai pengetahuan tentang pasaran dan ketidaktentuannya. Lynch seorang yang cepat belajar dari kesilapannya dan beliau selalu dapat menjelaskan dengan baik alasan disebalik setiap pembelian yang dilakukannya. Peter Lynch merupakan salah seorang pelabur yang mempunyai rekod kejayaan terbesar di Wall Street.
Melabur Seperti Lynch :
- Buy what you know.
- knowledge is power.
- Sentiasa mampu menerangkan dengan baik alasan disebalik setiap pembelian yang dilakukan.
4. Bill Ackman
Seorang activist investors. Bill Ackman tidak takut untuk menyuarakan pendapatnya. Beliau pernah meramalkan kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 2008. Beliau juga terkenal dengan pertaruhan high profile terhadap Herbalife, sehingga mendakwa syarikat itu menjalankan skim piramid.
Ackman mempunyai rekod prestasi yang luar biasa, beliau berjaya mengubah aset Pershing Square Capital dari $50 juta menjadi $ 12 bilion. Keuntungan semacam itu meletakkan Bill Ackman di kedudukan tersendiri dalam kalangan pelabur terbaik sepanjang masa.
Melabur Seperti Bill Ackman :
- Invest dalam solid companies.
- Bantu companies itu sehingga meraih keuntungan, kemudian keluar.
3. Peter Thiel
Peter Thiel bukan berasal dari kalangan penduduk Bumi. Serius, bagaimana lagi anda dapat menjelaskan kejayaan luar biasa beliau? Thiel agak berbeza berbanding pelabur lain, beliau tidak melabur dalam pasaran tetapi beliau menjadi usahawan dalam masa yang sama sebagai angle investor.
Peter Thiel adalah pengasas bersama bukan satu, tetapi dua syarikat multibilion dolar (Paypal dan Palantir) dan beliau menjadi orang pertama yang melabur dalam Facebook. Thiel berkongsi falsafah pelaburannya dalam buku Zero to One, di mana beliau bercerita tentang bagaimana perniagaan yang berjaya sepatutnya memonopoli sesuatu industri. Beliau menjadikan Google sebagai contoh, sebuah syarikat yang memonopoli enjin carian internet.
Melabur Seperti Peter Thiel :
- Cipta atau invest dalam syarikat yang mempunyai kuasa monopoli dalam industri tertentu.
2. Ray Dalio
Salah seorang pelabur terbaik Wall Street, hedge fund manager paling berjaya di dunia sekarang, ya, malah lebih berjaya dari Warren Buffett. Beliau menduduki tangga ke-88 sebagai orang paling kaya di dunia dan anggaran kekayaan beliau hampir $ 15 bilion. Syarikatnya, Bridgewater Associates, adalah hedge fund terbesar di dunia dengan nilai aset sekitar $ 160 bilion.
Ray Dalio dipanggil "Wall Street's Oddest Duck" kerana gaya pengurusannya yang unik. Beliau mengendalikan Bridgewater dengan meritokrasi yang ketat, di mana para pekerjanya digalakkan untuk berkongsi idea setiap masa dan menjatuhkan idea yang lain dalam proses mencari "kebenaran."
Prestasi Bridgewater begitu baik dengan pulangan tahunan sebanyak 14% sejak 1991. Strategi Dalio adalah melakukan pertaruhan dalam pasaran di seluruh dunia, beliau mempelbagaikan portfolio Bridgewater dengan baik. Dalio membahagikan pasaran dalam dua kategori : pertumbuhan dan inflasi. Setiap kategori kemudian dipecahkan kepada dua, bergantung sama ada pembolehubah dalam setiap persoalan meningkat atau menurun. Strategi ini telah membantu kejayaan beliau. Seperti semua orang, sebelum berjaya, beliau pernah beberapa kali mengalami kegagalan dan kerugian.
Melabur Seperti Ray Dalio :
- Kejujuran adalah polisi terbaik.
- Pelbagaikan portfolio untuk mengurangkan kerugian.
1. George Soros
Siapa tidak kenal George Soros yang digelar "Penyangak Mata Wang" oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Ke tepikan kontroversi. George Soros mula dikenali pada awal tahun 1990-an apabila beliau bertaruh menentang Bank of England (BOE). "The Hedge Fund Maverick" ini mengaut keuntungan sebanyak 1 bilion hanya dalam tempoh 1 bulan, menyebabkan nilai Pound (GBP) susut. Beliau mendapat gelaran "The Man Who Broke The Bank of England" selepas itu. Jika ini tidak menjadikan beliau tersenarai dalam salah seorang pelabur terbaik di dunia, maka kami tidak pasti apa yang layak.
Soros juga dipanggil "The Father of Fast Investing." Ada sebab kenapa beliau mendapat gelaran ini, kerana pendekatannya. Kebanyakan Wall Street player, menghabiskan masa beratus jam untuk melakukan kajian dan analisis menerusi spreadsheet dan data. Tetapi tidak bagi Soros. Beliau cuma mengambil masa selama 4 jam sahaja. Dalam masa 4 jam, beliau sudah menjadi expert dalam pelaburan yang dipilihnya.
Soros seorang old school. Beliau memulakan pelaburan dari sudut pandang bertentangan. Beliau juga pakar dalam penggunaan leverage untuk memanfaatkan trend yang berlaku dalam pasaran.
Melabur Seperti George Soros :
- Lakukan kajian pasaran dan polisi bank pusat.
- Lakukan kajian dan cuba memanfaatkan trend makro.
- Melabur dalam mata wang bukan hanya saham syarikat.
- Terima kesilapan dan move on dengan pantas.
Setakat ini sahaja untuk perkongsian kali ini. Ingat, terpulang kepada anda untuk menggunakan kaedah apa selagi ia berkesan untuk anda dan sentiasa bijak apabila melabur. Jangan berjudi!
Baca juga : 7 Pelabur Wanita Terkenal