Pada permulaan kerjaya seseorang trader, mereka akan menghadapi kesulitan untuk memahami bagaimana perdagangan Forex berjalan. Matlamat yang tidak realistik, ketamakan, kurang usaha, tergesa-gesa, dan pengetahuan yang tidak mencukupi menjadi penyebab utama mengapa ramai orang melalui perjalanan kerjaya sebagai Forex traders yang menghampakan. Bagaimana pasaran Forex beroperasi? Antara soalan yang anda perlu tanya kepada diri sendiri :
- Apa prinsip asas pembentukan harga untuk setiap aset di dunia?
- Apa disebalik struktur industri perdagangan?
- Apa sifat interaksi ekonomi dunia?
- Apa prinsip utama fundamental dan teknikal analisis?
- Apa kerumitan psikologi yang perlu ditangani seseorang trader?
Penawaran & Permintaan (Supply & Demand)
Dalam ekonomi, supply & demand merupakan model yang menerangkan pembentukan harga dalam pasaran. Harga sesuatu barangan diperolehi pada satu titik di mana kuantiti yang diminta oleh pengguna diseimbangkan oleh kuantiti yang dibekalkan oleh pengeluar.
Katakan anda pergi ke kedai runcit dan anda perlukan item A dan hanya terdapat satu vendor yang menjual item A. Anda berunding, bersetuju dengan harga, dan membuat pertukaran jumlah wang yang ditetapkan untuk jumlah unit item A. Anda dan vendor terlibat dalam satu perdagangan, anda dapat apa yang anda mahukan.
Hari berikutnya, anda berada di luar sana untuk membeli item yang sama dengan kuantiti yang sama. Anda mendapati terdapat dua vendor yang memiliki kuantiti item yang sama yang anda perlukan. Ini bermakna, bekalan item dalam pasaran menjadi lebih tinggi. Persaingan antara dua vendor akan mendorong harga item tersebut turun kerana kedua-duanya menyedari bahawa anda mungkin akan memilih item yang lebih murah. Harga baru akan ditetapkan dan anda akan berunding dengan mana-mana vendor yang anda rasakan patut.
Sekiranya pada hari itu terdapat dua pembeli yang berminat untuk mendapatkan item A tetapi hanya terdapat satu vendor sahaja di sana, ini bermakna akan wujud lebih banyak permintaan dengan bekalan yang rendah. Vendor akan meningkatkan harga item tersebut.
Dengan memahami logik mudah ini, ia akan membantu anda sedikit sebanyak dalam memahami bagaimana pasaran Forex beroperasi. Walau bagaimanapun, keadaan mungkin akan menjadi lebih rumit apabila senario yang disebut di atas tadi digunakan dalam pasaran Forex. Setiap kali mata wang tertentu dibeli, permintaan akan meningkat dalan pasaran dan menjadikan nilainya semakin tinggi. Begitu juga, setiap kali sesuatu mata wang itu dijual, bekalan akan menjadi berlebihan, sekali lagi nilainya akan ditekan menjadi lebih rendah.
Falsafah keseimbangan harga menjadi kunci dalam memahami bagaimana perdagangan Forex beroperasi kerana semua peristiwa ekonomi di dunia akan memberi kesan kepada pasaran melalui penawaran dan permintaan terhadap sesuatu aset.
Dalam pasaran Forex, terdapat institusi besar seperti Bank Negara, syarikat multinasional, dan hedge fund. Dasar kewangan dan keputusan dagangan mereka akan membentuk gelombang yang besar dalam pasaran. Terdapat juga syarikat bersaiz sederhana seperti private investor dan private bank. Pemain paling kecil dalam pasaran Forex pula terdiri daripada broker, bank-bank kecil dan retail traders.
Sebahagian peserta pasaran mempunyai akses ke interbank Forex, yang merupakan tempat di mana semua pertukaran wang berlaku. Melalui interbank, peserta pasaran boleh berdagang tanpa melalui orang tengah. Kuasa beli retail traders selalunya sangat kecil, jadi mereka memerlukan broker atau bank untuk menyediakan akaun dagangan dengan kemudahan leverage dan akses ke pasaran melalui trading servers.
Forex adalah pasaran untuk mata wang. Tidak seperti kebanyakan aset yang lain, ia merupakan alat dan indicator ekonomi. Secara kasarnya, jika negara adalah syarikat maka mata wang akan menjadi sahamnya. Pembuat dasar di bank pusat adalah faktor penyumbang terbesar yang mempengaruh bekalan wang dalam pasaran. Oleh sebab itu, sebarang keputusan dalam dasar kewangan bank pusat akan mempengaruhi pasaran Forex.
US dollar, Euro, British Pound, Japanese Yen merupakan mata wang yang paling banyak didagangkan di dunia. Federal Reserve Bank (Fed), European Central Bank (ECB), Bank of England (BOE) dan Bank of Japan (BOJ) merupakan pengaruh terbesar dalam pasaran Forex. Memahami bagaimana mereka boleh mempengaruhi ekonomi akan dapat membantu anda memahami bagaimana pasaran Forex beroperasi.
Apabila kadar faedah dinaikkan, pinjaman wang dari bank akan menjadi lebih mahal. Ini menyebabkan bekalan wang dalam pasaran akan berkurang. Secara tidak langsung, perbelanjaan pengguna juga turut berkurang. Kesannya, kadar pertumbuhan ekonomi akan menjadi perlahan. Bagaimanapun, ini dapat membantu memperlahankan kadar inflasi dan hutang. Untuk jangka panjang, ia merupakan satu perkara yang baik.
Sebagai alternatif, apabila kadar faedah diturunkan, mendorong semua peserta pasaran meminjam lebih banyak wang. Bekalan wang dalam pasaran akan meningkat dan ini boleh membawa kepada pengembangan perniagaan, peningkatan perbelanjaan dan seterusnya ekonomi akan berkembang. Adakah ia satu perkara yang baik?
Tidak semestinya kerana apabila lebih banyak wang dipinjam, bermakna lebih banyak wang yang perlu dibayar semula. Dalam jangka masa panjang, kredit bank yang terkumpul berpotensi membentuk krisis kewangan. Ini dikenali sebagai kitaran ekonomi makro. Ianya merupakan perkara biasa bagi semua emonomi jenis kapitalis. Kitaran ekonomi ibarat kitaran perubahan iklim. Bagi peserta pasaran yang tidak peka pada perubahan kitaran ekonomi, mereka berisiko untuk berdepan dengan bahaya.
Analisis Adalah Kunci
Terdapat dua prinsip analisis pasaran iaitu analisis fundamental dan analisis teknikal. Analisis fundamental melibatkan financial audit pada skala sebuah negara atau kadang-kadang, dunia. Analisis fundamental berkait dengan :
- Gross Demostic Product (GDP)
- Unemployment rates
- Interest rates
- Trade balance
- Perang
- Pilihan raya
- Bencana alam
- Kemajuan ekonomi
Analisis fundamental memerlukan pemahaman tentang ekonomi antarabangsa. Prinsip analisis ini sesuai untuk pelaburan dan perdagangan jangka panjang. Kelemahan analisis ini adalah unsur ketidaktentuan. Manakala kelebihannya ialah apabila analisis dilakukan dengan baik, anda boleh menjangkakan pergerakan harga yang dapat menghasilkan keuntungan jangka panjang.
Analisis teknikal pula melibatkan dua pembolehubah :
1. Masa
2. Harga
Masa dan harga boleh diukur. Inilah sebabnya mengapa ramai traders lebih memilih untuk menjalankan analisis teknikal berbanding analisis fundamental. Sama ada anda melukis garisan sokongan dan rintangan, mengenalpasti key level, menggunakan teknikal indikator atau membandingkan pembentukan candle, semua ini tidak melibatkan supply & demand. Analisis teknikal boleh digunakan untuk tujuan dagangan jangka pendek atau jangka panjang.
Kesimpulan
Konsep pembelian dan penjualan dalam pasaran Forex boleh mengelirukan pada mulanya kerana Forex merupakan pasaran dua hala, tidak sama seperti pasaran saham. Anda juga perlu memahami daya penggerak utama pasaran, struktur asasnya dari segi pemain utama, dua jenis analisis utama dan bagaimana perdagangan dalam talian beroperasi dari sudut praktikal.
No comments:
Post a Comment