Kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dalam pertandingan Thai boxing telah memberi tekanan baru kepada kerajaan Thailand supaya melarang kanak-kanak dari pertandingan seumpama itu. Anucha Thasako meninggal dunia akibat pendarahan otak dua hari selepas mendiang terlibat dalam perlawanan amal. Anucha telah mengambil bahagian dalam 170 pertandingan sejak berusia 8 tahun untuk mengumpul wang bagi membantu keluarganya.
Parlimen Thailand telah mengkaji undang-undang yang akan mengharamkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun terlibat dalam perlawanan tinju. Thai boxing atau Muay Thai sangat popular di negara Gajah Putih itu, di mana beribu-ribu petinju muda dan keluarga mereka melihatnya sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang. Sesetengah pihak tidak bersetuju dengan undang-undang dan peraturan yang mengawal sukan ini kerana mereka beranggapan ianya adalah sebahagian dari tradisi negara itu.
Ramai warga Thailand bersedih dengan kematian Anucha. Beberapa bintang tinju terkenal turut menghantar tanda penghormatan. Dalam perlawanan terakhirnya, Anucha berulang kali ditumbuk pada bahagian kepala sebelum mendiang jatuh ke lantai. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Sukan kebangsaannya, Thailand memiliki lebih daripada 10,000 petinju berdaftar di bawah usia 15 tahun.
No comments:
Post a Comment