KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan konsep 'Wang Sara Hidup' yang merupakan inisiatif BNM untuk menaik taraf pendapatan minimum yang diperlukan bagi setiap isi rumah, peluang untuk pembiayaan peribadi dan keluarga serta kebebasan daripada tekanan kewangan.
Berdasarkan Laporan Tahunan 2017, BNM berkata, kajian yang telah dilakukan pada 2016 mendapati kos sara hidup di Kuala Lumpur antara RM2,700 ke RM6,500 sebulan untuk individu, pasangan yang sudah berkahwin dan juga pasangan yang telah mempunyai dua orang anak.
Bank pusat berkata konsep ini digunakan untuk membimbing para penggubal dasar (Policy Maker) dan majikan mengenai standard kehidupan minimum golongan ini. Bank Negara Malaysia turut berkata piawaian kehidupan minimum harus melebihi keperluan makanan, penyertaan sosial dan keselamatan kewangan.
Anggaran upah hidup disertai dengan produktiviti yang lebih besar, harus disertakan sekali agar majikan dapat membayar upah yang adil kepada pekerja. Dengan panduan mengenai anggaran gaji dan standard kehidupan seseorang individu itu, kerajaan boleh melihat kesan positif kepada ekonomi seperti peningkatan dalam semangat dan produktiviti pekerja.
"Antara tahun 2014 dan 2016, pendapatan bulanan bagi isi rumah (B40) meningkat sebanyak 6% iaitu daripada RM2,537 kepada RM2,848. Dengan peningkatan kos sara hidup, pertumbuhan pendapatan sebenar hanya menjadi 3.8%" katanya. "Bagi sesetengah isi rumah pula yang lebih daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, kenaikan kecil ini meliputi kenaikan harga keperluan asas tetapi ia masih tidak mencapai standard kehidupan minimum," tambah bank pusat.
Sebanyak 27% isi rumah di Kuala Lumpur berada di bawah 'Wang Sara Hidup' dan kebanyakannya adalah graduan sekolah menengah yang bekerja dengan kemahiran rendah.