AirAsia Bakal Mengeluarkan Cryptocurrency Sendiri Yang Dipanggil BigCoin - Market Demon

Sunday, April 1, 2018

AirAsia Bakal Mengeluarkan Cryptocurrency Sendiri Yang Dipanggil BigCoin


Cryptocurrency merupakan topik yang cukup hangat pada tahun 2017 dan ramai orang mula terlibat dalam matawang digital ini. Pada penghujung tahun 2017, harga Bitcoin meningkat sehinga mencapai USD20,000.

Walau bagaimanapun, selepas tiga bulan harga mula jatuh dengan drastik sekali. Nilai Bitcoin jatuh di sekitar US7,000 dan banyak cryptocurrency lain yang turut mengalami kerugian besar dalam tempoh tiga (3) bulan terakhir tahun 2017.

Adakah ini bakal menghentikan minat syarikat-syarikat besar untuk terus terokai bidang cryptocurrency atau teknologi seperti blockchain ini? Tidak, walaupun ramai yang kini agak berhati-hati apabila ingin melabur dalam bidang cryptocurrency namun salah satu syarikat global Malaysia iaitu AirAsia terus mengorak langkah untuk membuat cryptocurrency mereka sendiri.

Diberi nama sebagai BigCoin, ia berfungsi untuk mengubah cara pembayaran penerbangan yang sedia ada kepada penggunaan cryptocurrency. Menurut laporan dari Nikkei Asia Review, laman sesawang AirAsia akan menjual tiket kepada pelanggan dalam matawang fiat dan juga BigCoin bermula April dan seterusnya. Bukan itu sahaja, syarikat penerbangan itu turut merancang melaksanakan BigCoin sebagai matawang untuk menaik taraf tempat duduk, makanan dalam penerbangan dan perkhidmatan lain dalam masa tiga hingga enam bulan akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia dan pengasasnya Tan Sri Tony Fernandes, visi jangka panjang ini adalah untuk menjadikan BigCoin antara matawang digital yang diterima oleh perniagaan pihak ketiga (Third-Parties). Fernandes juga akan menimbangkan mencari tawaran permulaan awal (ICO) untuk AirAsia walaupun butiran mengenai langkah itu masih belum lagi didedahkan oleh CEO syarikat penerbangan itu.

Selain itu, AirAsia juga telah membuat beberapa langkah penting dalam pembayaran menggunakan mata wang digital dengan melancarkan perkhidmatan mobile wallet sendiri yang dinamakan BigPay pada bulan Januari tahun ini. Perkhidmatan ini membolehkan penumpang AirAsia membeli makanan dan minuman di atas kapal melalui telefon pintar dengan menggunakan Wi-Fi dalam pesawat yang disediakan.