Adakah Anda Pelabur Babi? - Market Demon

Friday, March 23, 2018

Adakah Anda Pelabur Babi?


Bulls make money, bears make money, pigs get slaughtered.

Begitulah ungkapan lama yang sering disebut di Wall Street sebagai amaran kepada pelabur agar tidak tamak. Penggunaan istilah ‘’bull” dan “bear” menggambarkan pergerakan pasaran dengan cara serangan haiwan tersebut. “Bull” atau lembu jantan menyerang dengan menyondol menggunakan tanduknya ke atas manakala “bear” atau beruang menggunakan kukunya untuk menyerang ke bawah. Kedua-dua metafora ini menggambarkan aktiviti pasaran. Sekiranya pasaran positif ia dipanggil “bull market” atau "bullish." Sebaliknya jika pasaran negatif ia dipanggil “bear market” atau "bearish."

Bulls
Bull market adalah salah satu tanda optimis dan keyakinan pelaburan yang tinggi. Semasa tempoh ini, ekonomi dalam keadaan baik, kadar pengangguran menurun dan nilai pasaran semakin meningkat. Kebanyakan pemain pasaran akan menganggap pasaran akan terus naik dan sentiasa kekal tinggi. 

Realitinya, dalam mana-mana instrumen pelaburan sekalipun "bull market" tidak akan kekal selamanya. Situasi ini berlaku kepada komuniti Bitcoin tahun lepas, rata-rata pemain masih baru dalam pasaran. Majoriti sangat optimis tiada sesiapa atau apa pun yang akan dapat menghalang Crypto Mania. Mereka terlalu yakin nilai Bitcoin akan terus naik. Ada yang sudah menjadi "pakar segera" hasil dari pelaburan yang baru setahun jagung. 

Mereka bernasib baik kerana mula melabur ketika bull market bermula beberapa tahun lalu. Tetapi mereka kurang berpengalaman dalam bear market. Pakar segera memberi nasihat kepada orang ramai bahawa tiada yang dapat menghalang kenaikan Bitcoin. Akibatnya ramai yang membuat pembelian ketika harga sudah all-time high (ATH). Hari ini, mereka yang termakan nasihat itu sedang menanggung kerugian.

Bears
Bear market pula merujuk kepada fasa market di mana keyakinan pelabur sangat rendah. Fasa ini bertepatan dengan kemelesetan ekonomi dan juga kejatuhan harga pasaran. Sepanjang tempoh ini, pasaran secara keseluruhannya menurun. Bagi pasaran dua hala, anda masih boleh membuat keuntungan melalui "short position." Dalam pasaran satu hala, kebanyakan pelabur lebih suka menunggu fasa ini berlalu dan masuk kembali ke dalam pasaran apabila mereka merasakan "bear market" sudah sampai di penghujungnya.

Pigs
Pigs merujuk kepada pemain pasaran yang mempunyai matlamat untuk membuat keuntungan yang banyak dalam tempoh masa yang singkat. Pemain pasaran dalam kategori ini merupakan seseorang yang suka mengambil risiko yang sangat tinggi atau mengabaikan terus risiko demi mengejar keuntungan. 

Mereka juga sering membuat keputusan terburu-buru tanpa melakukan sebarang kajian tentang pasaran. Akibatnya "pigs" akan mudah untuk kehilangan wang begitu sahaja. Walaupun "bull" dan "bear" mempunyai cara atau gaya pelaburan yang bertentangan, mereka mempunyai potensi membuat keuntungan kerana membuat kajian dan dapat masuk ke dalam pasaran pada waktu yang betul. Sebaliknya "pigs" hanya akan berterusan menanggung kerugian akibat sifat mereka.