Trump Tidak Berpuas Hati Dengan Dasar Bank Pusat Amerika Syarikat - Market Demon

Thursday, November 22, 2018

Trump Tidak Berpuas Hati Dengan Dasar Bank Pusat Amerika Syarikat

Trump mahukan kadar faedah lebih rendah
President Trump semalam menggambarkan bank pusat Amerika Syarikat, Federal Reserve (Fed), sebagai bermasalah kerana beliau mahukan kadar faedah yang lebih rendah. Serangan terbaru Trump terhadap pihak berkuasa monetari itu datang selepas kejatuhan pasaran saham akibat kebimbangan pertumbuhan global yang perlahan.

Manakala, pasaran perumahan menunjukkan trend menurun ditengah-tengah kadar gadai janji tertinggi dalam tempoh lapan tahun, kemungkinan tanda amaran untuk ekonomi. Kata Trump kepada wartawan di Washington,

Saya ingin melihat Fed dengan kadar faedah yang lebih rendah. Kita mempunyai lebih banyak masalah Fed berbanding dengan orang lain.

Fed mengekalkan kos pinjaman sedia ada pada mesyuarat awal bulan ini tetapi pelabur menjangkakan Fed akan menaikkan kadar faedah pada bulan Disember. Ia merupakan kenaikan kadar faedah kali keempat sejak Jerome Powell dilantik sebagai pengerusi Fed pada bulan Februari tahun ini.

Trump sebelum ini menyalahkan Fed kerana menyebabkan kerugian pasaran saham dengan peningkatan kadar faedah yang beransur-ansur. Trump turut menafikan bahawa beliau akan memecat Jerome Powell. Kritikan presiden Amerika Syarikat itu telah menghancurkan tradisi White House selama dua dekad, presiden sebelum ini tidak pernah campur tangan mengenai dasar monetari kerana menghormati kebebasan bank pusat.



No comments: