Kenapa Ahli Ekonomi Gagal Meramal Krisis? - Market Demon

Thursday, November 22, 2018

Kenapa Ahli Ekonomi Gagal Meramal Krisis?


Kenapa ahli ekonomi gagal meramal krisis kewangan? Menurut Profesor Franklin Allen, University of Pennsylvania, kebanyakan ahli ekonomi menggunakan model matematik yang gagal memainkan peranan kritikal seperti mana yang digunakan oleh bank pelaburan dan institusi kewangan lain dalam ekonomi.

Sepanjang 30 tahun yang lalu, ekonomi telah dikuasai oleh ortodoks akademik yang mengatakan kitaran ekonomi didorong oleh pemain dalam ekonomi sebenar. Ekonomi sebenar merujuk kepada pengeluar dan pengguna. Sementara bank dan institusi kewangan yang lain tidak dilihat memainkan peranan yang penting. 

Profesor Franklin Allen
Menurut Allen lagi, di kebanyakan jabatan ekonomi utama, siswazah tidak akan belajar apa-apa mengenai perbankan dalam mana-mana kursus. Sedangkan institusi kewanganlah yang mencetuskan krisis semasa dengan mencipta produk berisiko, menggalakkan pinjaman yang berlebihan dikalangan pengguna dan terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi.

Oleh kerana komputer telah berkembang pesat, ahli akademik telah bergantung kepada model matematik untuk melihat bagaimana pelbagai daya ekonomi berinteraksi. Tetapi kebanyakan model-model ini hanya melibatkan pembolehubah tertentu. Terdapat kekurangan dan kelemahan dalam model ini, iaitu ketiadaan faktor untuk mengukur parameter sukar seperti psikologi manusia dan jangkaan tentang masa hadapan.

Antara kelemahan paling ketara adalah kegagalan ahli ekonomi dan ahli perniagaan untuk menerima fakta bahawa harga rumah tidak akan terus meningkat. Sebagai contoh, sebelum krisis subprima 10 tahun lalu, walaupun ramai ahli ekonomi melihat berlaku housing bubble, mereka gagal memahami sepenuhnya implikasi tersebut. 

Ahli ekonomi terutamanya golongan akademik, seolah-olah terputus dari dunia nyata, gagal untuk melihat pembentukan krisis dari awal. Kekurangan pemahaman ini disebabkan oleh salah faham dalam penyelidikan ekonomi. Model-model ekonomi yang ada mengabaikan unsur-unsur utama yang memacu hasil dalam pasaran dunia sebenar.

Model ekonomi perlu bersesuaian dengan pandangan dari cabang-cabang sains yang lain mengenai tingkah laku manusia. Sebelum krisis subprima, terdapat dua peristiwa yang terkenal apabila pertaruhan eksotik dan leverage digabungkan untuk mewujudkan krisis. Peristiwa pertama berlaku semasa kejatuhan pasaran saham pada tahun 1987, bermula dengan kejatuhan kecil yang mencetuskan sell order dalam program perdagangan berkomputer, kemudian berlaku penurunan harga yang lebih besar menyebabkan terjadi banyak jualan automatik.

Peristiwa kedua berlaku pada tahun 1998, semasa kejatuhan hedge fund Long-Term Capital Management (LTCM). Ahli ekonomi patut dipersalahkan kerana tidak mengambil kira secara menyeluruh berkenaan risiko kecairan.



No comments: