Zakat - Satu Tuntutan Agama - Market Demon

Thursday, May 17, 2018

Zakat - Satu Tuntutan Agama



Sempena bulan Ramadhan kali ini, penulis ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa bagi yang muslim. Berpuasa pada bulan Ramadhan adalah salah satu daripada 5 rukun Islam. Tapi di artikel ini penulis mahu pembaca tahu dan kenal tentang zakat. Zakat juga salah satu asas rukun Islam seperti kita semua sedia maklum. Jadi apa itu zakat?

Pengertian Zakat


“Zakat” dalam Bahasa Arab secara lazimnya bererti pertambahan. Berasaskan pengertian umum ini, ia kemudiannya digunakan bagi banyak pengertian seperti cerdik, jernih, berkat, kepujian, bersih dan lain-lain.


Dari segi istilah hukum atau “Fiqh”, zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Selain itu, perkataan zakat ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu istilah tunggal bagi sesuatu pengertian kerana al-Quran dan al-Sunnah juga menggunakan perkataan “sedekah” bagi pengertian yang sama. Dalam al-Quran misalnya Allah telah berfirman dalam surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:



Manakala dari segi bahasa, definisi zakat ialah ‘bersih’, ‘suci’, dan ‘berkembang’. Bersih disini bermaksud membersihkan diri orang kaya dari sifat kedekut dan bakhil kerana kedua-duanya adalah penyakit hati. Dari perspektif yang lain pula, ia bermaksuud membersihkan diri dari sifat dengki dan dendam. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 83:




Kedudukan Zakat Dalam Islam


Kita semua sedia maklum bahawa membayar zakat ialah salah satu rukun Islam yang lima. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Islam dibina atas lima : Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang,  menunaikan zakat, berpuasa pada bulan ramadhan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya”

Berdasarkan hadis tersebut, kita sangat sedia maklum bahawa zakat terdiri dari 5 teras Islam. Rukun juga bererti tiang atau asas utama pembinaan sesuatu. Maksudnya disini, jika ditinggalkan maka robohlah binaan itu. Jadi jika zakat ditinggalkan, ianya sama seperti meninggalkan solat, berpuasa dan sebagainya dan Islam seseorang itu tidak berada dalam keadaan yang kukuh.

Dari sudut ekonomi pula, zakat adalah ciri terpenting sistem fiskal islam dengan mekanisme pengagihannya yang tersendiri. Zakat dengan bentuknya yang tersendiri merupakan alat dasar fiskal yang dapat menangani masalah pengagihan yang merupakan salah satu daripada objektif ekonomi yang penting. Disamping itu, zakat secara automatik boleh menstabilkan jumlah pendapatan dan guna tenaga.

Kewajipan Mengeluarkan Zakat


Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut tentang kewajipan  berzakat. Antara ayat-ayat berkenaan adalah firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 110 :
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua Yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat Segala Yang kamu kerjakan

Dalam ayat diatas, Allah secara jelas menyuruh umat islam mengeluarkan zakat, sepertimana juga mereka disuruh sembahyang. Mengikut para fuqaha, ungkapan suruhan memberi erti wajib kecuali ada asas yang memberi faham ia bermaksud sunat atau harus.

Kepentingan Zakat

Zakat baynak kali dinyatakan di dalam Al-Quran bersama dengan mendirikan solat. Ini jelas betapa tingginya darjat zakat dan tanggungjawab untuk menunaikannya sebagai seorang Muslim. Zakat diberi mandat sama beratnya dengan ibadah solat dan semua rukun Islam yang lain dimana jika ia ditinggalkan dengan sengaja, kita dianggap tidak beriman dengan kitab suci.

Kepentingan ini telah meninggikan darjat zakat seperti yang telah disebutkan sebagai tuntutan agama yang tertinggi dan menjadikan ktia semua yang muslim insaf bahawa bayaran zakat adalah mudah, murah, dan tidak sedikit pun membebankan. Zakat ialah bayaran wajib yang harus dilaksanakan oleh kesemua anggota masyarakat Islam yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria tertentu. 

Zakat membentuk sebuah masyarakat yang saling bekerjasama, bertindak sebagai syarikat insurans dan tabung simpanan masyarakat islam. Setiap ahli masyarakat yang memerlukan bantuan akan dibantu dari tabung ini. Oleh itu, ia bertindak sebagai modal tambahan yang dibiayai oleh masyarakat untuk membantu orang-orang yang menganggur, orang-orang miskin yang memerlukan, anak-anak yatim, balu-balu, orang-orang cacat, orang-orang sakit, dan lain-lain. Ia merupakan insurans sosial yang penting bagi setiap anggota masyarakat Islam yang menjamin masa hadapan yang cerah bagi mereka.

Ia merupakan satu tabung insurans yang sumbangannya hanya datang daripada orang-orang kaya. Jika pada hari ini kita kaya, kita mestilah memberi sumbangan kepada tabung ini. Orang-orang miskin dan memerlukan akan mendapat manfaat dari tabung ini pada hari ini, tetapi jika kita atau anak-anak kita menghadapi kesusahan pada hari esok disebabkan oleh perubahan dunia ini, kita atau anak-anak kita juga yang akan mendapat manfaat darinya. Jelaslah bahawa zakat memenuhi kedua-dua tujuan iaitu untuk pembersihan jiwa yang merupakan tanggung jawab terhadap agama dan sebagai insurans sosial bagi semua risiko, hasil dari sumbangan secara kolektif.

Siapa yang layak mendapat zakat


Islam telah menggariskan beberapa kriteria untuk seseorang itu layak mendapat bantuan zakat. Antara golongan-golongan itu ialah:
Fakir: Golongan orang yang hampir tidak memiliki apapun sehingga tidak mampu memenuhi asas kehidupan seharian

Miskin: Golongan orang yang memiliki sedikit harta, tetapi tidak mampu mencukupi kehidupan seharian

Amil: Orang yang mengumpulkan dan membahagikan zakat.

Mu'allaf: Orang yang baru masuk atau baru memeluk agama Islam dan memerlukan bantuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru.

Hamba Sahaya: Orang yang ingin memerdekakan dirinya.

Gharimin: Orang yang berhutang untuk memenuhi keperluannya, dengan catatan bahwa keperluan tersebut adalah halal, akan tetapi tidak mampu untuk membayar hutangnya.

Fisabilillah: Orang yang berjuang di jalan Allah.

Ibnus Sabil: Musafir yang terputus bekalan di dalam perjalanannya.

Syarat-syarat wajib zakat harta


Selain syarat-syarat khas bagi setiap jenis zakat harta, syarat-syarat wajib yang umum adalah:

·        Islam
Zakat harta diwajibkan ke atas orang Islam dan harta orang Islam sahaja. Contohnya, sekiranya sesuatu perniagaan dikongsi bersama orang bukan Islam, maka bahagian yang diambil kira untuk pengiraan zakat adalah bahagian orang Islam sahaja (peratusan ekuiti/syer/bahagian yang dipegang orang Islam)

·        Merdeka
Zakat hanya wajib ke atas orang yang merdeka, bukan hamba. Kini, perhambaan sudah tiada, maka semua orang wajib berzakat.

·        Sempurna milik
Harta yang dimiliki adalah sempurna milik iaitu mempunyai kekuasaan penuh ke atasnya, bukan hutang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik boleh melakukan apa-apa sahaja ke atas harta tersebut dan mendapatkan manfaat daripadanya.

·        Cukup nisab
Nisab adalah kadar jumlah harta minimum yang diwajibkan zakat, iaitu bersamaan 85 gram emas. Nilainya dalam RM bergantung kepada harga emas semasa dan ditetapkan oleh Majlis Agama Negeri masing-masing.

·        Cukup haul
Haul adalah tempoh harta dimiliki, iaitu perlu genap setahun Hijrah (354 hari), bukan setahun Masihi. Sebab itulah digalakkan mengeluarkan zakat harta pada bulan Ramadhan supaya tidak terlupa dan mudah untuk membuat kiraan setahun Hijrah.

Jenis Zakat

Zakat secara amnya terdapat dua jenis. Zakat Harta dan Zakat Fitrah. Zakat Fitrah ialah zakat yang perlu dibayar pada bulan Ramadan. Manakala Zakat Harta pula terbahagi kepada 10 jenis:
Jenis-jenis zakat harta
·        Zakat Pendapatan
·        Zakat Wang Simpanan
·        Zakat Perniagaan
·        Zakat KWSP
·        Zakat Saham
·        Zakat Emas
·        Zakat Perak
·        Zakat Pertanian
·        Zakat Ternakan
·        Zakat Takaful


      
Sekali lagi penulis ingin mengingatkan semua untuk menyambut kedatangan Ramadhan kali ini dan rebutlah peluang dengan sebaik mungkin. Selamat Menyambut Ramadhan Karim




Senarai rujukan :

Buku :
1.    Afzal-ur-rahman, Doktrin Ekonomi Islam, kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan pustaka, jld 111.hlm.184-185
2.    Laporan zakat 2005, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
3.    Mahmood Zuhdi Abd Majid, Pengurusan Zakat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm.3
4.    Panduan Zakat Di Malaysia, Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm.1
5.    Surtahman Kastin hasan, Sanep Ahmad, Ekonomi islam Dsar dan Amalan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm.276


Jika ada apa-apa komen kepada penulis sila email: aiman.cryptocall@gmail.com