Peperangan Waterloo: Bagaimana Nathan Rothschilds Memanipulasi Sentimen Pasaran - Market Demon

Thursday, April 19, 2018

Peperangan Waterloo: Bagaimana Nathan Rothschilds Memanipulasi Sentimen Pasaran

Perang Waterloo

Nathan Rothschild, seorang yang tidak dapat disangkal kehebatannya, anak ketiga daripada lima adik beradik, ialah seorang yang sangat licik dan bijak. Keupayaan beliau dalam menjalankan bisnes dengan menggunakan naluri yang luar biasa telah membawa beliau ke tahap di mana beliau diiktiraf sebagai “Chief” di dalam bangunan Rothschild yang berprestij tinggi. Beliau hanya berada di London untuk dua dekad, tetapi telah berjaya mendapat kepercayaan kerajaan British kerana kebijaksanaan beliau dan sehinggalah kematian beliau. Nathan adalah pengasas untuk ‘London House’.

Nathan Rothschild

Salah satu kisah Nathan yang terkenal ialah ketika beliau memberikan perkhidmatan yang tak terhitung kepada England dan Prussia ketika “100 hari”. “100 hari” ini secara khususnya ialah hari-hari kejatuhan Napoleon di Waterloo, yang telah berjaya membawa nama Nathan naik semula kerana kejayaan mengaut keuntungan raksasa selepas mengalami beberapa kerugian yang teruk beberapa minggu sebelum itu.

Pada Mac 1815, Napoleon telah kembali ke Paris daripada dibuang negeri di Elba dengan 1,000 pengikut setianya. Raja Louis XVIII lari daripada takhta yang kemudiannya diambil alih oleh Napoleon. Bermulalah kempen “100 hari”. Pada bulan Jun 1815, tentera Napoleon bergerak ke Belgium di mana tentera British dan Prussia ditempatkan. Dalam peperangan Ligny, Napoleon telah mengalahkan tentera Prussia di bawah perintah Gebhard Leberecht von Blucher. Walau bagaimanapun, Perancis tidak dapat menghancurkan keseluruhan tentera Prussia. Dua hari kemudian iaitu pada 18 Jun, Napoleon telah membawa tenteranya yang berjumlah 72,000 untuk berperang dengan tentera British yang berjumlah 68,000 di kawasan selatan Brussels berhampiran perkampungan Waterloo.

Napoleon Bonaparte

Kepulangan Napoleon yang secara tiba-tiba dari Elba sangat menggusarkan Nathan kerana dia akan mengganggu perniagaan Nathan yang menggunakan khidmat Perancis sebagai hub dagangan England ke Portugal. Nama Rothschilds yang sering dianggap kebal daripada masalah kewangan, boleh menjadi sesak dengan perubahan politik secara drastik. Harta kekayaannya berada pada risiko yang sangat tinggi untuk lesap. Beliau dikatakan tidak dapat bersabar lagi dan terus ke Continent untuk menyertai tentera British dan mengikut mereka. Setelah beberapa lama, peperangan besar yang berlaku di Soigne telah menyebabkan Nathan yang berada di bahagian belakang, tidak pernah nampak setitik darah sekalipun, telah hilang sabar dan ingin tahu apa yang terjadi di barisan hadapan. Beliau dengan segera ke kawasan pertempuran untuk melihat dengan mata kepala sendiri di kawasan tinggi untuk melihat suasana yang sangat cemas dan menakutkan tetapi masih mampu menganalisis setiap apa yang terjadi ketika itu. Beliau sendiri dapat merasakan ketegangan yang berlaku, melihat perubahan yang bakal membentuk benua Eropah.
 
Kawasan dimana berlakunya peperangan Waterloo
Tentera British yang disertai oleh tentera dari Belgium, Belanda, dan Jerman telah diketuai oleh Arthur Wellesley, Duke of Wellington, yang telah menjadi terkenal melawan Perancis ketika Perang Semenanjung. Kesilapan Napoleon ketika ini ialah apabila beliau menunggu untuk memberi arahan sehingga waktu tengahari kerana menunggu lumpur kering selepas ribut pada malam sebelumnya.

Arthur Wellesly, Duke of Wellington
Ketika inilah kelewatan Napoleon membawa padah. Masa yang digunakan oleh tentera Perancis untuk menunggu lumpur kering ialah masa yang digunakan tentera British untuk mendapat bantuan tentera tambahan sebanyak 30,000 dan menyertai mereka di Waterloo. Walaupun tentera Perancis dapat memberi tentangan yang hebat melawan British, ketibaan tentera Prussia telah menukar segala-galanya menyebabkan kemenangan berpihak kepada tentera bersekutu British. Tentera Perancis ketika itu dalam kekalutan disebabkan jumlah tentera Prussia yang banyak dan menyebabkan mereka berundur. Seramai 33,000 tentera Perancis telah terkorban manakala lebih 22,000 tentera British dan Prussia juga turut terkorban. Disebabkan kondisi perang yang teruk dalam kempen perang ini, Napoleon telah membuat keputusan yang salah dan bertindak tanpa hala tuju. Emperor Perancis itu berada di ambang kekalahan.

Pada ketika inilah Nathan Rothschild bersinar matanya kerana beliau dapat melihat kekalahan Napoleon bakal membantunya kembali kaya-raya. Nathan tanpa membuang masa terus berlari meninggalkan kawasan pertempuran kerana beliau yakin bahawa Napoleon telah kalah. Kelibat mayat yang bergelimpangan, darah terpancur, dan segalanya tidak dihiraukan Nathan lagi. Apa yang berada di fikirannya hanyalah Exchange di London dan beliau ingin bergegas ke sana.

Hatinya ibarat disuntik adrenaline, berdegup kencang kerana berita gembira itu. Beliau menunggang seekor kuda ke Brussels tanpa membuang masa walau satu saat. Sampai ke Brussels, beliau mengupah seorang courier untuk membawanya ke arah Ostend. Upahnya sangat tinggi kerana beliau menyuruh courier itu memecut dengan laju selaju mana kemampuan kudanya. Sesampai di Ostend, hati beliau berkecai kerana penat lelahnya dari Waterloo terasa sia-sia kerana ketika itu Ostend dilanda ribut yang sangat kuat di mana tiada seorang pelayar yang waras ingin turun ke laut ketika itu. Tetapi Rothschild, yang hidupnya sentiasa mengambil risiko, ketika itu tidak takut akan apa-apa sekalipun. Beliau menawarkan 500, 800 dan seterusnya 1,000 francs untuk sesiapa sahaja yang mahu membawa beliau melintas laut untuk ke England. Hampir-hampir Nathan berputus asa kerana tiada siapa yang ingin menawarkan diri membawanya ke sana tetapi hasratnya itu disekat oleh seorang pelayar yang berani membawa beliau melintasi laut jika beliau membayarnya 2,000 francs kepada isterinya. Pelayar itu berkata jika apa-apa terjadi kepada mereka, sekurang-kurangnya isterinya akan memperoleh sesuatu.
 
Perjalanan Nathan dari Waterloo - Brussels - Ostend - Dover - London
Nathan tanpa berfikir panjang menghulurkan jumlah yang telah dipersetujui dan berlalulah mereka pergi menuju ke tanah Inggeris iaitu England. Walaupun dengan cuaca yang sangat ekstrem dan berasa seperti separuh mati, beliau dengan selamat sampai di Dover dan memberi upah lebih kepada si pelayar kerana keberaniannya. Nathan terus ke London menggunakan pos ekspres. Keesokan paginya, beliau berada di tempat kebiasaanya di Exchange, bersandar pada sebuah tiang. Mukanya pucat, matanya merah kerana keletihan yang amat sangat dan kaki beliau sudah menggigil tidak mampu berdiri. Sungguh teruk keadaan Nathan ketika itu.

Tiba masa Exchange untuk beroperasi, ramai yang telah datang ke Exchange untuk bekerja seperti biasa. Orang kebanyakan bergosip dan mendengar ura-ura bahawa tentera Napoleon yang gagah telah menewaskan tentera di bawah perintah Wellington. Berita dan gosip tanpa bukti itu diperkuatkan lagi dengan keadaan tubuh Nathan yang terduduk bersandar di tiang. Seorang daripada mereka bertanya kepada Nathan apa yang terjadi. Nathan, dengan kelicikan beliau menjawab dengan berbisik:

Berdasarkan rekod peperangan Wellington sebelum ini, harapan kita sangat tipis

Beliau tidak memberitahu bahawa British telah kalah, tapi dengan ‘harapan sangat tipis’, ayatnya itu diambil dan disalah tafsir oleh orang kebanyakan. Apa yang ditakuti oleh orang London telah menjadi kenyataan. Mereka takut akan Napoleon akan menyerang London untuk perang akan datang dan berita itu terus tular ke Exchange dan seluruh London. Berita tersebar dengan cepat ibarat petir.

Keadaan tiba-tiba mula menjadi panik. Takut. Resah. Gawat. Semua ada. Kadar Exchange jatuh merudum, menjunam, kelaut, menyembah bumi dan telah sampai ke tahap yang paling rendah. Ketika itu Nathan dan broker-broker beliau menawarkan sekuriti untuk dijual dalam jumlah yang besar. Nathan mencipta suasana yang huru-hara dan dalam hanya beberapa minit, bank yang terkuat dunia mula goyah dan jatuh tersungkur dan nilai exchange jatuh dalam keadaan yang sangat menakutkan.

Kecoh di London Stock Exchange,1815

Dalam keadaan huru-hara itu, Nathan Rothschild, hanya ketawa di sebalik lengan bajunya. Sedangkan orang kebanyakan meluahkan rasa simpati kepada Nathan yang dianggap telah jatuh menjadi debu, hancur dek kerana Perancis tempat lubuk emasnya hilang, sebenarnya secara diam-diam membeli semua sekuriti yang ditawarkan melalui agen Rothschild yang tidak diketahui sesiapa.

Surat dari Kapten William Turnor yang mengatakan bagaimana Duke of Wellington memenangi Perang Waterloo

Keesokan harinya, datang berita bahawa Blicher telah menang dalam Perang Ligny dan Wellington telah menang dalam Perang Waterloo. Nathan sendiri yang datang ke Exchange ketika baru dibuka untuk memberitahu berita tersebut dan dikuatkan lagi oleh pemberita lain. Nilai sekuriti di bank itu melonjak dan meroket sehingga beliau dapat mengaut keuntungan sebanyak £1 juta pound (ada yang mengatakan £6 juta pound sterling) dalam masa sehari. Kejadian ini dikatakan seperti:

Askar Allies menang dalam Perang Waterloo, tetapi yang menang kemenangan sebenar adalah Rothschild


Panik dalam dunia kewangan telah reda dan Nathan Rothschild telah keluar dari bencana itu merasakan diri lebih kuat, kaya dan berkuasa daripada sebelumnya.

Apa yang terjadi juga boleh berlaku dalam dunia kewangan yang moden dengan bentuk komunikasi dalam apa bentuk sekalipun. Dalam menghasilkan FUD, ia memerlukan seorang Nathan Rothschild. Jadi kesimpulannya di sini, untuk trader-trader sekalian, sebelum anda melakukan apa-apa keputusan, pastikan anda bertindak atas kajian yang anda sendiri lakukan dan bukannya dengan berita atau gosip yang disebarkan secara tular di media sosial. Percaya akan diri sendiri, kaji pasaran sebaik mungkin dan keuntungan akan datang kemudian.

Disclaimer: Kisah ini diambil dari buku bertajuk The Romance of The Rothschilds tulisan Ignazio Balla. Ada fakta yang diragui oleh ahli sejarah kerana buku ini lebih kepada sebuah novel.


[Baca juga Trader Legenda Yang Mengaut Keuntungan $10 Billion]


Sumber:

History
The Romance of Rothschilds
Thenewsfromwaterloo