Perkembangan pasaran cryptocurrency terutamanya Bitcoin yang “hype” pada masa ini mungkin makin suram dan pada masa sama cryptocurrency semakin mendapat tempat di kalangan peminat matawang digital. Malah, anda boleh berdagang wang fiat anda bukan sahaja untuk Bitcoin tetapi juga Litecoin, Ethereum, Ripple atau/dan Monero. Ini hanyalah beberapa senarai cryptocurrency yang popular, banyak lagi pilihan lain yang anda boleh pilih.
Jika disebut mengenai cryptocurrency, kebanyakkan berita berkisar mengenai pelaburan tetapi sebenarnya tidak semua orang menggunakan matawang digital untuk pelaburan. Tahukah anda terdapat beberapa cara yang tidak dijangka yang boleh digunakan dengan matawang digital ini.
Berikut adalah beberapa cara pengguna matawang digital memanfaatkan cryptocurrency ini selain sebagai salah satu cara untuk menyimpan kekayaan (store of wealth).
1. Derma Untuk Kerja Amal
Patrick Grey, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HashChain Technology, sebuah syarikat teknologi blockchain global yang berpangkalan di Vancouver, Kanada, menyatakan bahawa ramai orang menderma matawang cryptocurrency mereka untuk kerja amal di seluruh dunia.
"Sebagai contoh, Fidelity Charitable mendedahkan awal tahun ini bahawa mereka telah menerima sumbangan sebanyak $69 juta dalam bentuk cryptocurrency sepanjang tahun 2017 sahaja. Lebih banyak lagi organisasi bukan keuntungan dan organisasi amal telah mula menerima matawang digital sebagai salah satu cara untuk memanfaatkan wang bagi pelabur yang berhati mulia" kata Grey.
Tetapi, itu hanyalah permulaan. Pada awal April 2018, Ripple telah menyumbang $29 juta matawang Ripple kepada beribu-ribu guru hasil daripada permintaan mereka di laman sesawang crowdfunding, DonorsChoose.org. Sumbangan tersebut telah memenuhi 35,647 permintaan daripada 28,210 guru di 16,561 sekolah awam di seluruh negara.
2. Menyembunyikan Wang Dalam Perceraian
Briggs Stahl, rakan kongsi dengan RGL Forensics iaitu sebuah firma penyiasatan kewangan di Tampa Bay, Florida, mengatakan bahawa dia telah beberapa kali menjumpai kes di mana pasangan cuba menyembunyikan wang dalam perceraian dengan mengubah tunai menjadi Bitcoin.
"Ini adalah kemajuan teknologi terkini untuk menyembunyikan wang," kata Stahl. "Jika sebelum ini, kita hanya melihat pembelian kad hadiah, pembayaran kad kredit atau penyingkiran wang tunai yang tidak dapat dikesan. Sekarang, ini adalah trend terkini."
Dengan pasaran cryptocurrency yang ada turun naik, anda mungkin tertanya-tanya jika seseorang mengambil peluang besar dengan menyembunyikan aset dengan cara ini. "Ya, itu adalah risiko yang besar," kata Stahl.
3. Untuk Melindungi Diri Daripada Hiperinflasi
Di negara-negara seperti Zimbabwe dan Venezuela, rakyat setiap hari membeli crypto hanya untuk melindungi diri mereka daripada kemiskinan sekiranya matawang fiat mereka menjadi semakin lemah," kata Dean Anastos, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Blockchain Developers di New York City. Syarikat ini mengkhususkan diri menyelesaikan masalah semasa penciptaan token dan smart contract di Ethereum.
Anastos mengakui anda boleh memanggilnya pelaburan tetapi dia menyifatkan tindakan ini sebagai "pertahanan untuk terus hidup (survival)". Menurut Anastos, tindakan melabur dalam masyarakat dengan ekonomi yang stabil adalah pilihan sedangkan mencari peluang untuk menyimpan wang anda secara aman di negara seperti Venezuela adalah suatu kemestian (hukum harus). "Bank pusat mereka telah memusnahkan ekonomi mereka dengan hiperinflasi dan kebanyakan rakyatnya terselamat daripada bencana ekonomi itu dengan mencari perlindungan dalam crypto."
4. Sistem Barter (Pertukaran Barang Dengan Barang)
Shidan Gouran, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi di Global Blockchain Technologies Corporation dari Toronto mengatakan bahawa Bunz.com, sebuah syarikat bartering dalam talian yang berpangkalan di Toronto, telah berjaya menggunakan cryptocurrency untuk diperdagangkan.
"Dengan lebih daripada 200,000 pengguna, komuniti beroperasi tanpa peraturan tunai yang ketat dan membenarkan perdagangan barangan atau perkhidmatan. Sebahagian daripada kekuatan komuniti adalah usaha bersama pengguna untuk menghormati peraturan dan piawaian, akhirnya menjadikannya sangat selamat dan mengurangkan masalah tawar-menawar," kata Gouran.
Beliau menambah bahawa beberapa minggu yang lalu laman sesawang ini telah memulakan cryptocurrency mereka sendiri yang dipanggil BTZ (disebut "Bits"). Coin tersebut adalah ganjaran kepada pengguna untuk penyertaan mereka. Pada majlis pelancarannya, BTZ mempunyai lebih daripada 100 peniaga yang menerima BTZ untuk pembayaran.
5. Sebagai Medium Baru Untuk Melaburkan Wang Lebihan Bantuan Kewangan
The Student Loan Report, sebuah laman sesawang mengenai maklumat pinjaman pelajar telah melakukan tinjauan pada 16 Mac hingga 20 Mac 2018 dan meminta 1,000 pelajar kolej semasa mengenai apa yang mereka lakukan dengan pendapatan tambahan bantuan kewangan. Menurut penemuan kajian itu, 21% pelajar melaporkan mereka meletakkan wang ke dalam cryptocurrency seperti Bitcoin dan lain-lain.
Walaupun sukar untuk memastikan pelajar-pelajar kolej tersebut akan terus meletakkan wang pinjaman pelajar tambahan ke dalam urus niaga cryptocurrency, tetapi tindakan tersebut adalah satu tindakan yang selamat kerana pada masa akan datang, pelajar kolej akan terus menerima wang dalam bentuk digital. Sebagai contoh pada tahun akan datang, Carnegie Mellon University (CMU) di Pittsburgh merancang untuk melancarkan cryptocurrency mereka sendiri iaitu CMU Coin yang akan ditawarkan kepada pelajar dan fakulti.
Alasan utama kerana ingin memberi peluang kepada universiti untuk menyelidik matawang digital menurut Param Vir Singh, Profesor Teknologi Perniagaan di Carpenter Mellon University's Tepper School of Business. "Kami menjangka ia akan digunakan untuk perbelanjaan biasa di dalam kampus dan mungkin juga akan membawa kepada kemunculan pasaran baru di kampus," kata Vir Singh.🦋