Rang Undang-Undang Anti Berita Palsu 2018 mencadangkan agar denda maksimum sebanyak RM500,000, penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan kerana mewujudkan atau menyebarkan berita palsu.
Rang undang-undang ini memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang membuat, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar atau menyebarkan berita palsu atau penerbitan yang mengandungi berita palsu, boleh dikenakan hukuman.
Fasal 2 rang undang-undang mentakrifkan berita palsu sebagai berita, maklumat, data, laporan tersebut keseluruhannya atau sebahagiannya palsu, sama ada dalam bentuk visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh disampaikan dalam perkataan atau idea.
Fasal 3 rang undang-undang pula memperuntukkan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu, sama ada warganegara atau bukan, di mana-mana tempat di luar atau di dalam Malaysia, Individu tersebut boleh disabit kesalahan tersebut seperti ianya dilakukan di mana-mana tempat di Malaysia.
Selain daripada itu, mana-mana individu yang secara langsung atau tidak langsung memberi bantuan kewangan atas tujuan untuk melakukan atau memudahkan kesalahan tersebut, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala, mana-mana individu yang gagal membuang penerbitan yang mengandungi berita palsu boleh didenda tidak melebihi RM100,000.