Macau : Pusat Judi Terbesar Di Dunia - Market Demon

Tuesday, November 20, 2018

Macau : Pusat Judi Terbesar Di Dunia

Kasino dan hotel yang berada berdekatan di Macau

Aktiviti perjudian di Macau telah menjadi aktiviti yang sah di sisi undang-undang sejak dari tahun 1850 apabila kerajaan Portugis menjajah negara itu. Semenjak daripada itu, Macau dikenali sebagai pusat judi di dunia atau ''Monte Carlo of the East''. Persoalan di sini adakah mereka mampu bertahan sebagai pusat judi yang terkenal di dunia kerana perang perdagangan antara China dengan Amerika Syarikat pada masa sekarang semakin hari semakin tegang. Macau mempunyai sebanyak 38 buah kasino dan kasino yang paling besar dikenali sebagai The Venetian Macao.

Aktiviti judi di Macau telah menyumbang pendapatan kepada kerajaan sebanyak 40% daripada GDP. Pengunjung selalunya datang daripada Tanah Besar China dan Hong Kong. Pada umumnya, ramai orang berfikiran bahawa Las Vegas adalah tempat judi yang terbesar tetapi tidak lagi apabila pada tahun 2007 kerana terdapat kemasukan pelaburan yang besar daripada Las Vegas dan juga Australia. Terdapat empat kategori judi di Macau iaitu permainan kasino, perlumbaan 'greyhound', sukan pertaruhan dan juga loteri. Pada masa sekarang, Macau tidak merancang untuk membuka operasi perjudian secara online.
Pengunjung mempertaruhkan wang untuk memulakan permainan kasino
Sejak Macau membuka pintu pelaburan kepada Las Vegas, pendapatan tahunan kasino tersebut telah mencecah sebanyak sepuluh kali ganda kepada $33 bilion, menyaksikan Macau kekal sebagai pusat judi terbesar di dunia. Keuntungan yang diperoleh masih lagi meningkat dengan kadar yang membuatkan pemegang saham berpuas hati dengan prestasi kasino tersebut. Dijangka pada tahun hadapan, rekod baru akan dilakar walaupun terdapat sedikit kebimbangan mengenai kadar pertumbuhan yang dijangka akan perlahan pada tahun 2019. 

Hal ini adalah kerana pemain judi yang mempunyai pengaruh besar mengambil langkah selamat dengan menarik diri kerana kelembapan ekonomi di China akibat perang perdagangan dengan Amerika Syarikat. Tempat tumpuan untuk perjudian yang baru iaitu di Jepun telah bersedia untuk menarik pengunjung dan akan menjadi pesaing yang hebat kepada Macau. Terdapat juga kerisauan yang timbul kesan daripada perang perdagangan dengan US, hal ini kerana lesen untuk pengendali Amerika Las Vegas Corp iaitu MGM Resorts International dan Wynn Resorts Ltd dijangka bakal tamat pada tahun 2020 hingga 2022.

Andre Lo iaitu Direktor Eksekutif di Suncity Group Holdings Ltd berkata ''Kami tidak nampak permulaan yang baik bagi sektor judi pada tahun hadapan. Jika kami masih lagi mampu meneruskan rentak yang baik pada 2019, ia adalah satu bonus buat kami semua''. Beliau menambah hal ini kerana perniagaan ini banyak bergantung kepada ekonomi dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan China. 

Kekayaan dan perniagaan di China selalu berkait rapat dengan perniagaan hartanah dan pasaran saham yang mana kedua-duanya berada dalam keadaan yang lemah buat masa sekarang. Analisis yang dibuat oleh Bloomberg mendapati bahawa pendapatan perjudian di Macau akan menjadi perlahan daripada 19% pada tahun 2017 kepada 14% pada tahun ini. Mereka juga menjangka sedikit kejatuhan kepada 5% pada tahun 2019.

Walaupun kasino pertama yang bakal dibina di Jepun adalah pada tahun 2025, mereka telah dijangka akan menjadi pesaing yang mampu menggugat pendapatan kasino di Macau dan akan menarik pengunjung daripada China. Walaupun terdapat pesaing seperti Filipina, Vietnam dan Korea Selatan, Jepun masih dianggap sebagai pesaing utama Macau.


No comments: