Genre permainan Battle Royale kini menarik perhatian pemain dari pelbagai platform; PC, PS4, dan juga platform telefon pintar seperti Rules Of Survival juga amat popular.
Apabila syarikat Epic Games mengumumkan sebuah mod baharu (Battle Royale) di dalam permainan bergenre zombie survival Fortnite, iaitu milik syarikat tersebut, warga internet berasa skeptikal. Pada masa pengumuman ini, genre Battle Royale ini sedang didominasi oleh permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds, yang membuatkan orang memandang rendah terhadap Fortnite: Battle Royale ini kerana seolah hanya menjadi permainan tiruan.
Namun, ianya dibuktikan salah oleh studio tersebut dan telah berjaya menarik sebanyak 40 juta pemain dari seluruh dunia. Sebuah syarikat penstriman video yang berfokus kepada permainan video iaitu Twitch, telah berjaya mengumpulkan jumlah sebanyak 5.000 tahun penstriman permainan Fortnite.
Jadi, apakah yang membuatkan Fortnite begitu berjaya berbanding permainan bergenre sama yang lain?
Pemain-pemain akan diterbangkan di atas sebuah pulau yang dikelilingi air laut yang membiru, dan tugas masing-masing adalah untuk membunuh satu sama lain atau menyorok di dalam rumah sehingga maut menjemput. Secara lazimnya, pemain akan dipaksa untuk berkumpul di dalam sebuah bulatan yang semakin kecil.
Hanya akan ada satu pemenang untuk setiap sesi permainan.
Jika dibandingkan dengan permainan lain, Fortnite mempunyai mekanisma pertahanan diri yang lebih tinggi. Hal ini kerana pemain boleh membina benteng mereka sendiri menggunakan kayu, batu, dan besi yang dikumpulkan dari sekitar pulau tersebut. Pemain boleh memotong pokok untuk mengumpulkan kayu, dan merobohkan bangunan untuk mendapatkan batu dan besi.
Kayu, batu, dan besi yang dijumpai akan digunakan untuk membina istana idaman pemain.
Permainan ini juga mempunyai tema yang agak kebudak-budakan dan tidak terlalu menambahkan stres kepada yang telah mati ditembak. Ini menyebabkan ramai pemain meneruskan permainan seterusnya tanpa menghiraukan masa yang berlalu dengan pantas kerana keseronokan yang dirasai.
Kesimpulannya, jangan percaya dengan respon-respon skeptikal dan negatif dari orang lain, kerana mungkin anda akan menjadi fenomena yang mengejutkan dan tak dijangka, seperti Fortnite.