Cara Membuat Pelaburan Pertama Dengan RM500 - Market Demon

Saturday, March 17, 2018

Cara Membuat Pelaburan Pertama Dengan RM500


Apabila berbicara tentang kewangan peribadi, orang ramai lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada berapa banyak yang dapat mereka simpan. Ianya bagus, tetapi nilai wang akan susut. Kuasa beli akan berkurang dari semasa ke semasa. RM500 hari ini tidak sama dengan RM500 pada masa akan datang. Melabur adalah cara terbaik untuk menggandakan wang anda. 

Jika anda luangkan masa dalam forum atau group kewangan, anda akan segera melihat bahawa terdapat persoalan-persoalan yang sama berulang kali ditanya. Malah, saya juga kerap ditanya soalan yang sama.

"Saya ada RM xxx, apa perlu saya buat?"
"Saya ada RM xxx, kalau invest dalam Ethereum ok tak?"
"EUR/USD, buy ke sell sekarang?"

Bagaimana jika anda hanya ada wang yang sedikit, tetapi anda ingin melabur? Apa yang anda lakukan jika anda hanya mempunyai RM200, RM400 atau RM500? Jika soalan itu anda tanya pada orang yang salah, maka anda akan ditunjukkan pelaburan yang salah. Jika anda tanya pada orang yang betul, saya percaya mereka tidak akan beritahu anda ke pelaburan mana anda perlu laburkan wang anda. Di bawah adalah jawapan yang anda akan terima dari kebanyakan pelabur expert.

Melabur Dalam Ilmu
Ini mungkin jawapan yang selalu anda jumpa. Tetapi sebenarnya, cara terbaik untuk melabur adalah melabur di dalam ilmu terlebih dahulu. Tanyalah mereka yang sudah berjaya, mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca. Kerana,

Knowledge is power.

Terdapat banyak cara untuk melakukannya. Jika anda seorang yang malas membaca, jangan risau. Terdapat banyak cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Anda boleh cari seorang mentor atau masuk ke dalam circle mereka yang aktif dan arif dalam pelaburan. Mentor pula jangan terlalu ramai kerana setiap orang mempunyai kaedah dan pendekatan yang berbeza. Dan ingat, banyakkan bertanya soalan kepada mereka, kerana melalui pertanyaan itu datangnya ilmu dan berkembangnya pengetahuan. Jangan tunggu disuap!

Untuk bahan bacaan, anda boleh rujuk artikel 10 Buah Buku Pilihan Pelabur Jutawan. Apa yang anda bayar hari ini (untuk ilmu) adalah interest atau pulangan yang akan anda dapat di kemudian hari. Dengan melabur untuk ilmu, anda menyelamatkan setiap ringgit yang mungkin anda akan hilang dalam pelaburan yang anda tidak arif langsung mengenainya.

Anda juga boleh menghadiri beberapa kelas atau seminar untuk mendapatkan kemahiran dalam pelaburan. Tetapi seminar pelaburan selalunya mengenakan yuran yang agak mahal, disamping sesi perkongsian yang singkat. Nasihat saya, berhati-hati dengan "hantu seminar" yang hanya tahu mengambil kesempatan dan membuat keuntungan mudah.