Kenapa Rakyat Malaysia Malas Membaca? - Market Demon

Saturday, May 26, 2018

Kenapa Rakyat Malaysia Malas Membaca?

Setiap tahun, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan menjalankan satu kajian terhadap tahap pembacaan rakyat Malaysia. Menurut Ketua pengarah PNM Datuk Nafisah Ahmad, kadar literasi penduduk Malaysia tiada peningkatan sejak 2014 di mana purata setiap rakyat hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun!

Walaupun peningkatan terakhir 2014 sebanyak 750% berbanding kajian pada tahun 2005, beliau berkata kadar literasi rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dengan purata di negara luar jika dilihat berdasarkan jumlah penduduk terkini Malaysia iaitu seramai 31.7 juta orang.

Bagi mencapai sasaran ideal dengan jumlah populasi, setiap orang perlu membaca 30 buku setahun sedangkan secara purata, setiap penduduk hanya membaca sehingga 20 buku seorang dalam setahun,

Masalah malas membaca memberikan kesan negatif terhadap penjanaan rakyat sesebuah negara. Individu yang kurang membaca sering ketinggalan mengenai maklumat-maklumat terkini. Sungguhpun terdapat banyak kempen yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan sehingga ke hari ini, namun budaya membaca masih lagi kurang mendapat perhatian di kalangan rakyat Malaysia. Kesedaran perlu wujud di kalangan rakyat Malaysia akan pentingnya mewujudkan budaya membaca demi kemajuan negara.

Senario malas membaca di kalangan rakyat Malaysia wajar diambil perhatian. Antara faktor utama ialah apabila mula membaca, timbul perasaan yang tidak gembira dan bosan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa dan juga bebanan kerja yang membatasi mereka daripada membaca. Kekurangan kesedaran menjadi punca rakyat Malaysia malas untuk membaca.

Bagi golongan remaja serta pelajar pula, berkemungkinan semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Pelajar hanya membaca buku sebagai tiket untuk lulus peperiksaan sahaja. Atau mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Adakah ini adalah kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku? Sebaliknya artis pula yang dijadikan sebagai idola utama mereka. Apa yang kita lihat kini terlalu banyak rancangan- rancangan berbentuk hiburan yang boleh melalaikan generasi kita pada hari ini.

Tabiat membaca memerlukan perubahan minda yang peka dan dimulakan dari awal. Justeru itu, amalan sikap suka membaca di kalangan anak-anak terletak pada bahu ibu bapa. Ini adalah kerana perubahan satu generasi ke generasi yang lain akan dapat memastikan tabiat membaca dan juga penerusan budaya ilmu di kalangan generasi yang berikutnya.

Di sini penulis menyediakan info dalam bentuk grafik fakta-fakta yang menarik mengenai buku, kesan-kesan apabila kita membaca dan jumlah peratusan membaca buku di seluruh dunia.