Mansa Musa: Singa Mali - Market Demon

Thursday, April 5, 2018

Mansa Musa: Singa Mali




Dalam dunia fiksyen Marvel, T’Challa yang juga dikenali sebagai Black Panther, bukan sahaja raja kepada Wakanda, tetapi merupakan insan yang terkaya di antara superhero. Walaupun terdapat persaingan yang sengit untuk tempat “Orang Terkaya” dunia zaman ini di antara ramai billionaires, CEO, dan ahli-ahli perniagaan, orang terkaya yang pernah wujud dalam sejarah bertulis ialah, Haji Mansa Musa, seorang raja Mali yang mempunyai aset harta yang bernilai hampir $400 Billion dan baginda mempunyai karakter yang hampir sama seperti watak Black Panther, superhero berkulit gelap pertama Marvel.

Mansa Musa menjadi pemerintah Empayar Mali pada tahun 1312, selepas mengambil takhta daripada pemerintah sebelumnya, Abu Bakar II, yang hilang selepas mengikuti ekspedisi untuk mencari penghujung lautan Atlantik. Mansa Musa menaiki takhta ketika negara Eropah dalam keadaan huru-hara kerana perang saudara dan juga kekurangan sumber serta makanan. Pada waktu itu, Empayar Mali berkembang dengan sangat pesat dek kerana sumber alam seperti garam dan emas yang menggunung banyaknya.

Di bawah pemerintahan baginda, Empayar Mali berkembang sehingga menjadi saiz yang besar di kawasan Afrika Barat. Empayarnya bermula daripada pantai Atlantik hingga kawasan dalam di Timbuktu dan juga sebahagian Gurun Sahara. Semasa kawasan jajahannya berkembang, ekonomi di kalangan rakyatnya turut maju.

Sehingga lewat tahun 1324, negara seberang dan seluruh dunia baru tersedar akan kekayaan Empayar Mali dan juga kekayaan rajanya. Sebagai seorang muslim, Mansa Musa juga berkewajipan untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan haji di Kota Mekah. Baginda memutuskan untuk pergi bersama seangkatan rakyat dalam rombongannya.



Pengembaraan itu yang dianggarkan perlu berjalan sejauh 4000 batu, diharungi Mansa Musa bersama seangkatan tentera, hamba dan hulubalang yang dipakaikan dengan sutera Parsi sambil mengangkat barangan emas. Walaupun tiada angka yang tepat di dalam rekod mengenai pengembaraan itu, rombongan baginda dikatakan telah disertai oleh beberapa ratus ekor unta dan kuda yang turut membawa beratus kilo emas.

Laluan Raja Mali untuk menunaikan Haji


Rombongan ini sudah pasti dilihat sendiri oleh penduduk tempatan yang menghuni kawasan yang di dilalui – Tambahan pula, mana mungkin rombongan sebesar itu akan terlepas daripada pandangan. Impak Empayar Mali yang ditinggalkan di tempat persinggahannya terus bergema selama berpuluh tahun lamanya.

Sesampai rombongan itu di Kairo, Mansa Musa menampilkan dirinya semasa pertemuan dengan pemerintah Kairo ketika itu, Al-Malik Al-Nasir. Menurut sumber bertulis daripada ahli sejarah purba Shihab Al-Umari, Mansa Musa disambut oleh orang bawahan Al-Nasir yang menjemput baginda untuk bertemu dengan semua pemerintah tetapi baginda menolak pelawaan itu dengan alasan baginda hanya melintasi kawasan tersebut untuk menunaikan haji di Mekah.

Ada peristiwa di mana Mansa Musa dikatakan sangat tegas dan tetap pendiriannya. Baginda dipelawa oleh orang bawahan pemerintah Mesir dan ketika disambut, Mansa Musa dikatakan enggan berjumpa dengan pemerintah Mesir kerana perlu mencium tangan Sultan disebabkan protokol kerajaan. Walaupun begitu, baginda akhirnya bersetuju selepas didesak oleh orang bawahan berkenaan untuk berjumpa tetapi baginda tetap tidak akan mencium tangan sesiapa pun.

Sultan Mesir kemudian menyuruh istananya untuk melayani Mansa Musa yang kemudian menetap di Kairo selama tiga bulan. Atas kebaikan hati sultan, Mansa Musa memberinya hadiah 50 ribu dinar dan ribuan batang emas. Para pedagang Mesir pun turut berdagang dengan rombongan Mansa Musa.

Dari pasar Kaherah, ke pejabat-pejabat kerajaan, kepada orang miskin yang melintasi jalannya di Mesir, Mansa Musa sangat bermurah hati kerana memberikan emas dan membeli cendera hati menggunakan logam itu dengan banyak. Ramai orang sangat teruja dengan emas yang diberikan. Walaupun niat itu baik, tanpa disedari harga emas susut dengan mendadak. Ada yang mengatakan hampir 25%. Krisis ekonomi bermula selepas berlakunya Great Depression kerana harga emas dikatakan tidak lagi bernilai. Berdasarkan kajian, krisis itu berlaku selama 12 tahun hingga 20 tahun sebelum pulih seperti sedia kala. Begitu dahsyat sekali gelombang ekonomi yang ditinggalkan Raja Mali itu. Selain itu, sejak kepulangan Mansa Musa, hubungan perdagangan antara Mali dan Mesir makin mengukuh.

Tetapi perjalanan raja itu tidak kesemuanya diisi dengan pemberian. Semasa pengembaraan itu, baginda memperoleh wilayah Gao daripada kerajaan Songhai, memajukan wilayahnya di pinggir selatan Gurun Sahara di sepanjang Sungai Niger. Baginda telah pergi ke sebuah empayar yang merangkumi beberapa wilayah, termasuk Senegal, Gambia, Guinea, Niger, Nigeria, Chad, dan Mauritania selain Mali dan memajukan kesemuanya sekali.



Walaupun begitu, Gao merupakan satu tempat yang sangat penting untuk Raja Mali itu. Kawasan itu dibangunkan dengan pembinaan masjid-masjid selepas Mansa Musa selesai menunaikan haji. Mansa Musa sangat menekankan perkembangan peradaban Islam di Mali. Baginda memperkuatkan pengaruh Islam di sana. Pelbagai cara dilakukan untuk meningkatkan pendidikan dan ekonomi Mali, terutama di tiga (3) kota pusat budaya yang utama, yaitu Walata, Jenne, dan Timbuktu. Hingga kini, Timbuktu merupakan wilayah dengan komuniti Muslim terbesar dan memiliki peradaban tinggi. Kota tersebut menjadi pusat pendidikan Islam di kawasan Mali. Masjid Djinguereber ialah tempat di mana Mansa Musa menjadikannya hub perdagangan yang sungguh pesat. Masjid itu dibina dengan batu lumpur dan kayu yang masih utuh walaupun sudah berusia lebih 500 tahun lamanya.

Masjid Djinguereber yang terletak di Timbuktu


Kawasan hadapan persekitaran Masjid Djinguereber




Berita tentang kekayaan dan pengaruh Mansa Musa hanya tersebar di luar Afrika selepas pengembaraan haji baginda dan rombongannya ke Mekah. Kisah dermawan dan konvoi besarnya terus diceritakan walaupun selepas kematiannya, yang dipercayai berlaku antara tahun 1332 dan 1337. Pada akhir abad ke-14, Mansa Musa telah dilukis dalam Catalan Atlas 1375, sebuah rujukan penting untuk pelayar-pelayar dari Eropah pada zaman Abad Pertengahan. Dibuat oleh kartographer Sepanyol Abraham Cresques, atlas menggambarkan Musa duduk di atas takhta dengan tongkat emas dan mahkota, memegang seketul emas.

Catalan Atlas 1375

Dengan bekalan semula jadi yang begitu banyak, baginda menggunakannya untuk pertumbuhan dan perkembangan empayar dan komuniti yang ditinggalkannya. Jika dilihat dari segi kekayaan, amatlah mustahil untuk mencapai paras yang sama seperti Mansa Musa. Keluasan tanah dan harta milik Raja Mali itu menurut profesor sejarah daripada University of Michigan di dalam majalah Time, "Bayangkan seberapa banyak emas yang anda fikir manusia dapat miliki dan menggandakannya, itulah yang semua pihak sedang kaji jumlahnya," Sambungnya lagi, "Inilah orang terkaya yang pernah dilihat oleh sesiapa."