7 Kesilapan 'Ringan' Kewangan Anak Muda - Market Demon

Monday, April 2, 2018

7 Kesilapan 'Ringan' Kewangan Anak Muda



"Bro, ada dalam RM 200 tak bagi aku pinjam sikit kering ni gaji masuk aku bayar balik la" 

"Bang, ada duit sikit? Mak nak buat bayar yuran adik sekolah" mesej masuk dari emak di kampung

Kring.. kring...

"En Firdaus, kereta dah tertunggak hampir 2 bulan ya, bila boleh langsaikan? Pihak bank akan keluarkan notis penarikan sekiranya bayaran tak di buat secepat mungkin." Begitulah bunyi panggilan masuk dari seorang pegawai bank menanyakan perihal bayaran pinjaman kenderaan yang telah tertunggak. 

Aduhh, pening kepala aku sekarang dahla baru tengah bulan, dah macam-macam hal. Menyesal pula tak bayar awal-awal. Keluh seorang anak muda dalam hati penuh kerisauan. 

Saya percaya senario-senario di atas berlaku hampir setiap hari baik yang muda atau yang lebih berusia. Ini menggambarkan perancangan kewangan yang lemah dan kesilapan-kesilapan yang sering kali dilakukan oleh kebanyakkan orang. 

Di sini saya senaraikan kesilapan yang di anggap enteng oleh kebanyakkan dari kita sekaligus menyebabkan perkara ini acap kali berulang dan memerangkap diri sendiri. 


1) Beli barangan bukan keperluan secara berlebihan

Hujung bulan duit gaji habis dan terpaksa tunggu gaji seterusnya, yang lagi memeritkan sekiranya anda baru berada di pertengahan bulan tetapi poket sudah kering. Pernah tak anda alami masalah seperti ini?

Kalau gaji lambat masuk, mulalah anda rasa risau sebab tiada simpanan yang cukup untuk menampung perbelanjaan harian, makan, kos pengangkutan dan lain-lain. Ada juga yang mula meminjam dari kawan semata-mata untuk makan dan minum.

Kerana kesilapan pengurusan kewangan sendiri, anda terpaksa 'menyusahkan' orang lain. Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan atau keluarga yang boleh membantu adalah sesuatu yang melegakan tetapi bagaimana pula sekiranya anda tidak punya sesiapa? 

Anda perlu belajar membezakan antara kehendak dan keperluan. 


2) Berbelanja di luar kemampuan pendapatan

Seringkali kita lihat ramai yang berbelanja di luar kemampuan iaitu melebihi pendapatan atas nama memenuhi kehendak trend dan gaya. Tak kurang juga ramai yang sanggup menghabiskan wang ribuan dan puluhan ribu semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.

Akibatnya, ramai yang terkandas dan tidap mempunyai wang yang cukup bagi melangsaikan keperluan bayaran bil, pelbagai pinjaman, kecemasan dan lain-lain.  

3) Berfikiran bahawa anda masih muda untuk menyimpan 






Kesilapan lazim ramai anak muda terutamanya ialah mempunyai fikiran bahawa anda masih terlalu muda untuk mempunyai simpanan tetap, mempunyai pelaburan selamat bagi persediaan hari kemudiaan dan persaraan. Ini penting bagi memastikan anda mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan akibat tidak merancang ketika usia muda. 

Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan dan komitmen pula yang bertambah.

4) Pinjaman tanpa keperluan yang kukuh 

Kadar bankrap anak muda saban tahun makin meningkat dengan mendadak dan perkara ini membuktikan pengurusan kewangan yang lemah oleh golongan anak muda. Kesilapan ketika muda akan menyebabkan mereka sendiri terbeban untuk satu tempoh yang panjang termasuklah melakukan pinjaman tanpa keperluan yang nyata atau disebabkan angan-angan Mat Jenin. 

Jika anda sudah terjebak dengan pinjaman peribadi, mungkin agak sukar untuk anda lepas atau bebas dari hutang tersebut. Dengan kadar faedah yang tinggi, masih ramai juga yang mengambil pinjaman peribadi untuk tujuan yang tidak penting.

Lebih menyedihkan lagi apabila ramai anak muda muflis disebabkan menggunakan pinjaman peribadi untuk tujuan menyertai skim-skim cepat kaya yang semakin banyak di Malaysia. Walaupun sering dinasihatkan supaya mengelakkan skim cepat kaya, masih ramai yang menyertainya kerana terlalu menginginkan wang yang banyak dan cepat.

Begitu juga pinjaman biasa yang memerangkap anak muda iaitu pinjaman kenderaan. Kereta itu sendiri boleh menjadi kehendak atau keperluan. Jika salah memilih, kereta tersebut akan menjadi pembelian mengikut kehendak. Apabila bayaran ansuran kereta melebihi 50% dari pendapatan anda, itu adalah kehendak keterlaluan.

Anda boleh beli atau dapatkan apa yang anda mahukan tetapi mestilah selari dengan pendapatan anda. Kuncinya adalah anda harus mengukur baju di badan sendiri

5) Pengurusan debit dan kredit yang tidak baik 

Sebelum gaji masuk, pastikan anda sudah membuat rancangan yang teliti tentang penggunaan gaji yang bakal anda terima nanti. Buat satu pelan rancangan kewangan yang baik supaya anda tahu apa yang perlu dilakukan apabila gaji sudah masuk.

Kesilapan kecil ini menyebabkan anda sukar untuk membuat simpanan setiap bulan. Apabila wang dari gaji tersebut dibelanjakan tanpa arah tujuan yang jelas, duit anda akan mengalir keluar dari poket dengan laju. Pastikan anda tahu tujuan wang anda digunakan walaupun untuk perbelanjaan kecil seperti belanja makan harian anda atau pergi menonton wayang.

Cara paling baik adalah dengan merekodkan perbelanjaan anda setiap hari. Melalui rekod yang telah anda buat, anda boleh melakukan satu analisis perbelanjaan bulanan anda. Anda dapat lihat bagaimana anda membelanjakan wang anda setiap bulan dan anda juga boleh membuat rancangan untuk bulan seterusnya.

Dalam pengurusan kewangan yang baik, anda seharusnya mengasingkan duit anda untuk simpanan, pelaburan, perlindungan dan perbelanjaan.


6) Pelaburan membuta-tuli 

Warren Buffet ada berpesan:

“PERATURAN PERTAMA DALAM PELABURAN ADALAH MEMASTIKAN WANG KITA TAK RUGI.”

Dalam setiap pelaburan pastinya mempunyai risiko tersendiri. Namun begitu, haruslah dipastikan pelaburan yang anda terlibat itu benar-benar atas dasar ilmu yang cukup dan risiko yang telah sedia maklum serta mampu ditanggung sekiranya kerugian berlaku. 

7) Kurang ilmu pengurusan kewangan

Lazimnya, ilmu pengurusan kewangan boleh belajar secara tidak langsung daripada orang sekeliling. Ada juga yang merasakan menghadiri ke seminar adalah satu pembaziran kerana semuanya boleh didapati melalui pembacaan internet sahaja. Jika anda ingin berjaya, buka minda anda untuk semua jenis penambahan ilmu.

Jika anda rasa sudah cukup dengan ilmu kewangan, itu adalah tanda awal yang anda akan menghadapi masalah kewangan. Ilmu dan pengetahuan berkenaan kewangan sentiasa perlu ditambah dari semasa ke semasa.

Tanpa ilmu, anda tidak akan bertindak untuk mengubah hidup anda.