Apakah Kekayaan Sebenar?
Wang? Emas? Anda namakannya. Mungkin sesetengah orang fikir, wang adalah kekayaan sebenar kerana anda boleh menggunakannya untuk membeli apa saja yang anda mahukan. Pendapat saya, wang dalam apa saja bentuk hanyalah cara untuk memperoleh kekayaan sebenar. Pandangan konvensional tentang kekayaan adalah wang, boleh jadi salah.
Bayangkan anda adalah pemilik peti besi konvensional, di dalamnya tersimpan permata, berlian, emas dan lain-lain. Jika kekayaan kekal di dalam peti besi itu, jadi apa gunanya memiliki kekayaan itu? Kepuasan? Sekiranya kekayaan hanya kepuasan dalaman, maka mari mengukur persahabatan dan rasa diperlukan sebagai metrik kekayaan. Jika kekayaan adalah kepuasan dalaman, maka peti besi yang penuh dengan "wang" adalah metrik yang kurang baik.
Kekayaan sebenar adalah kebebasan. Seseorang yang memiliki kebebasan mengawal sepenuhnya kehidupan mereka. Berbanding dengan mereka yang tidak memiliki kebebasan, sangat terikat dengan waktu, sistem dan arahan serta suruhan manusia lain (contohnya majikan atau pihak atasan).
Modal juga adalah kekayaan. Di sini modal tidak terhad kepada wang semata-mata. Karekter diri adalah modal, jaringan sosial (kenalan) adalah modal, pengetahuan adalah modal, pengalaman adalah modal. Kesemua bentuk modal ini adalah lebih penting daripada modal dalam bentuk wang.
Wang hanya bermanfaat jika ia menjadi cara untuk memperoleh kekayaan sebenar, seperti yang disebut tadi. Ramai yang membelanjakan beratus ribu setahun untuk pelbagai perkara (lifestyle mereka) tetapi mereka tidak merasakan kekayaan sebenar.