Sejak kebelakangan ini, makin ramai orang mula mengenali dan menggunakan Bitcoin, ini mengakibatkan transaksi menjadi lebih perlahan dan lebih mahal. Kesannya menjadi masalah kepada pengguna apabila mahu melakukan transaksi jual beli lebih-lebih lagi transaksi berskala kecil kerana kos transaksi menjadi lagi mahal dari harga barang yang hendak dibeli. Para developer telah mempertimbangkan beberapa penyelesaian kepada masalah ini. Salah satu penyelesaiannya adalah melalui pelaksanaan Lightning Network.
Bagaimana Lightning Network Berfungsi?
Transaksi lightning network melibatkan sekumpulan kecil nodes yang menghubungkan pengirim dan penerima. Nodes ini dihubungkan melalui satu saluran pembayaran (Payment Channel) yang dicipta di atas blockchain. Saluran pembayaran yang memanfaatkan smart contracts membolehkan transaksi lebih cepat dan murah. Lightning network juga dikatakan sebagai off-chain approach kerana segala transaksi tidak akan dicatat di dalam blockchain Bitcoin sehinggalah saluran pembayaran telah ditutup.
Sebagai contoh, Loqman membeli nasi lemak di gerai Qayyum setiap pagi dengan menggunakan Bitcoin sebanyak 0.01 btc. Mencipta transaksi pada blockchain setiap hari mungkin akan mengakibatkan Loqman membayar lebih kos transaksi dari harga nasi lemak tersebut. Dalam erti kata lain, fees yang terpaksa ditanggung Loqman lebih mahal dari harga nasi.
Hanya transaksi terawal sahaja yang akan terpapar pada blockchain Bitcoin. Untuk berbelanja, kedua-dua pihak perlu bersetuju dan menandatangani baki terkini. Lejar diatas akan diperbaharui jika ada transaksi di antara Loqman dan Qayyum serta dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Saluran ini boleh ditutup tanpa persetujuan kedua-dua pihak kerana baki terkini sudah pun dipersetujui. Qayyum atau Loqman boleh saja menutup saluran tersebut pada bila-bila masa. Transaksi yang terakhir akan tercipta pada blockchain apabila saluran pembayaran telah ditutup.