Hari ini isu berkaitan kenaikan harga barang dan kadar tukaran mata wang seringkali diperkatakan di kalangan rakyat Malaysia. Inilah yang dipanggil inflasi di mana harga umum barangan atau perkhidmatan mengalami kenaikan secara berterusan. Harga akan sentiasa naik kerana itulah cara semula jadi ekonomi yang berasaskan mata wang.
Sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, majoriti rakyat Malaysia adalah golongan miskin dari segi kewangan. Walaupun begitu, tiada isu kekurangan makanan kerana sumber makanan boleh didapati di sekeliling atau berdekatan rumah. Ikan boleh didapati dari sungai, paya serta sawah. Tumbuh-tumbuhan seperti bayam, kangkung dan ubi kayu tumbuh meliar. Ayam, itik, lembu dan kambing dipelihara untuk mendapatkan susu, daging dan telur. Sumber-sumber makanan yang segar tetapi tidak habis dimakan kemudiannya akan dijual untuk mendapatkan wang tunai. Penggunaan wang tunai pada masa ini agak terhad. Oleh itu, tiada siapa peduli mengenai inflasi, turun naik nilai mata wang dan kadar tukarannya.
Sekitar tahun 1967, rakyat Malaysia mula mengambil peduli masalah berkaitan mata wang apabila nilai ringgit Malaya menurun berbanding ringgit Malaysia dan pound sterling Inggeris. Pada masa itu, rakyat Malaysia menggunakan dua mata wang serentak iaitu duit lama ringgit Malaya dan duit baharu ringgit Malaysia. Kedua-dua mata wang dipautkan kepada pound sterling pada kadaran 8.57 ringgit setiap 1 pound sterling (8.57MYR = 1.00£).
Lima bulan selepas duit baharu ringgit Malaysia diperkenalkan, kerajaan British menilai semula mata wang pound sterling. Kadar tukaran diturunkan sebanyak 14.35% berbanding dollar Amerika bagi membaiki daya saing ekonomi Inggeris. Malaysia turut mengikut jejak kerajaan British dengan menurunkan kadar tukaran ringgit Malaya sebanyak 15% berbanding pound sterling dan ringgit Malaysia. Ini bagi menggalakkan penggunaan ringgit Malaysia dan mengurangkan peranan ringgit Malaya.
Keadaan ini menyebabkan orang ramai dan peniaga yang memegang ringgit Malaya mengalami kerugian besar. Salah satu negeri yang masih menggunakan ringgit Malaya secara meluas adalah negeri Pulau Pinang yang pada masa itu berstatus pelabuhan bebas. Pada 24 November 1967, berlaku rusuhan di Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai hartal kerana membantah penurunan nilai ringgit Malaya. Hartal ialah istilah selatan India yang membawa maksud menutup kedai dan pejabat sebagai tanda kesedihan atau bantahan. Seramai 27 orang terbunuh dan 137 cedera apabila pemogok dan penunjuk perasaan yang diketuai oleh Parti Buruh menyerang pekedai yang enggan menyertai hartal.
Sehingga kini, masalah inflasi adalah salah satu masalah utama kerana ekonomi amat bergantung pada jual beli dan penggunaan wang sebagai perantara. Setiap kali berlaku penurunan nilai mata wang dan naik turun bekalan barangan, harga akan terjejas seterusnya meningkatkan kadar inflasi. Pengkhususan ekonomi dan faktor bekerja makan gaji menyebabkan rakyat Malaysia menjadi semakin tertekan. Naik turun kadar tukaran mata wang dan inflasi yang tinggi akan memberikan kesan negatif secara terus dan langsung kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia. Hanya pengurusan kewangan yang cekap dan penjanaan ekonomi yang sihat akan membantu mengurangkan kesan negatif ini. 🦋