Dunia sentiasa berubah, begitu juga dengan pasaran. Pasaran berubah mengikut kitaran semulajadi. Sekiranya kita tidak mengubah pendirian pelaburan kita saat keadaan pasaran berubah, kita akan ketinggalan banyak peluang atau mungkin juga mengalami kerugian.
Sekiranya kita menggunakan beberapa pandangan tentang kitaran, kita boleh meningkatkan pertaruhan kita dengan lebih agresif apabila kemungkinan memihak kepada kita dan mendapat hasil yang lumayan. Dalam masa yang sama kita juga dapat meningkatkan pertahanan kita dan melindungi portfolio apabila pasaran bertentangan dengan kita.
Pelaburan dan perdagangan adalah persediaan untuk masa depan kewangan. Sangat mudah untuk menentukan apa yang harus kita lakukan, kita membina portfolio hari ini dengan harapan akan mendapat manfaat daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa akan datang.
Mencapai kejayaan sebagai peserta pasaran bukan satu cabaran kecil kerana kita sentiasa terdedah kepada risiko. Keadaan semalam tidak sama dengan hari ini, dan apa yang kita hadapi hari ini belum menjamin hasil yang sama pada masa hadapan. Salah satu elemen asas yang paling penting dalam falsafah pelaburan dan perdagangan saya adalah keyakinan saya bahawa kita tidak dapat mengetahui apa yang akan terjadi pada masa hadapan sama ada dalam :
1. Ekonomi
2. Pasaran
3. Geopolitik
Hanya segelintir individu mempunyai lebih banyak maklumat mengenai keadaan makroekonomi masa hadapan berbanding yang lain. Sama ada mereka :
1. Mempunyai data yang lebih baik.
2. Cemerlang dalam pentafsiran data.
3. Mengetahui tindakan apa yang perlu diambil berdasarkan tafsiran data.
4. Mempunyai kekuatan emosi untuk bertindak berdasarkan tafsiran data.
Sekiranya kita mempunyai 4 kelebihan diatas, ramalan kita juga akan membawa kepada peningkatan prestasi yang lebih unggul berbanding majoriti peserta pasaran yang lain.
Ringkasnya, jika kita mempunyai maklumat yang sama dengan kebanyakan peserta pasaran, menganalisisnya dengan cara yang sama, membuat kesimpulan yang sama dan melaksanakannya dengan kaedah yang sama, kita tidak boleh mengharapkan proses analisis tersebut akan menghasilkan keputusan yang luar biasa. Sangat sukar untuk menjadi cemerlang secara konsisten dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan makroekonomi.
Pada pandangan saya, cuba meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan (keadaan makroekonomi) tidak mungkin akan dapat membantu peserta pasaran mencapai prestasi pelaburan yang lebih baik. Terlalu sedikit peserta pasaran yang dikenali kerana mempunyai prestasi yang cemerlang melalui ramalan makroekonomi. Warren Buffett pernah berkata, walaupun semua orang tahu bahawa perkembangan makroekonomi memainkan peranan yang dominan dalam menentukan prestasi pasaran, pelabur makro secara keseluruhannya telah menunjukkan keputusan yang agak tidak memuaskan.
Bukan bermaksud makroekonomi tidak penting tetapi hanya sebilangan kecil individu yang boleh menguasainya. Kebanyakannya tidak menunjukkan hasil yang konsisten. Oleh itu, saya menolak ramalan makroekonomi sebagai sesuatu yang akan membawa kejayaan pelaburan kepada majoriti peserta pasaran.
Bersambung di bahagian ke-2, Kecenderungan & Risiko.
No comments:
Post a Comment