Trade War: Mungkinkah Pencetus Perang Akhir Zaman? - Market Demon

Tuesday, April 10, 2018

Trade War: Mungkinkah Pencetus Perang Akhir Zaman?

 

Apa itu trade war? 

Perang perdagangan atau lebih dikenali sebagai trade war merujuk kepada dua atau lebih negara yang menaikkan/mewujudkan tarif atau halangan perdagangan antara satu sama lain sebagai tindak balas untuk halangan dagang lain. Peningkatan perlindungan perdagangan tersebut menyebabkan komposisi output kedua-dua negara bergerak ke arah kedudukan autarki mereka. 

Apa itu tarif? 

Tarif adalah cukai ke atas import atau eksport antara negara. 

Cukai mempunyai fungsi yang signifikan dalam menentukan hala tuju sistem ekonomi dan sosial sesebuah negara. Cukai ialah bayaran wajib yang dikenakan oleh kerajaan terhadap penggunaan, pendapatan, kekayaan atau asas lain untuk kepentingan dan manfaat rakyat sesebuah negara.

Import adalah proses apa-apa barangan (contohnya satu komoditi) atau perkhidmatan yang dibawa ke dalam sebuah negara dari negara lain di dalam satu kaedah yang disahkan oleh undang-undang. 

Eksport merujuk kepada proses barang atau komoditi yang dijual atau diangkut dari satu negara ke negara lain secara sah. 

Apa itu Autarki? 

Autarki adalah kualiti yang mencukupi untuk negara sendiri. Autarki wujud apabila negara tersebut dapat bertahan atau meneruskan kegiatannya tanpa bantuan luar atau perdagangan antarabangsa. Ekonomi yang mencukupi juga menolak semua perdagangan dengan dunia luar dan ia juga dikenali sebagai ekonomi tertutup. 


Hari ini, autarki ekonomi negara agak jarang berlaku dan contoh terbaik adalah negara Korea Utara yang masih mengamalkan ideologi kerajaan Juche (self-sufficient) di mana keutamaan ialah mengekalkan ekonomi domestiknya sendiri dalam masa sama menghadapi pengasingan daripada dunia luar. Namun begitu, Korea Utara sebenarnya masih mempunyai hubungan perdagangan dengan negara-negara seperti Rusia, China, Syria, Iran, Vietnam, kebanyakkan negara di Eropah dan Afrika. 

Donald Trump: “Perang Perdagangan Adalah Baik Dan Mudah Untuk Menang” 


Pada 1 Mac 2018, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengumumkan niatnya untuk mengenakan tarif import 25% ke atas keluli dan 10% ke atas aluminium. Dalam satu tweet yang dikeluarkan pada hari berikutnya, Trump menegaskan bahawa "Perang perdagangan adalah baik dan mudah untuk menang." Pada 8 Mac 2018, beliau telah menandatangani perintah untuk mengenakan tarif yang berkuat kuasa selepas 15 hari berikutnya iaitu pada 23 Mac 2018. Sehari sebelum tarikh penguatkuasaan pada 22 Mac 2018, White House telah mengumumkan bahawa ia akan menggantung sementara tarif untuk negara-negara seperti Kanada, Mexico, Kesatuan Eropah, Australia, Korea Selatan, Brazil dan Argentina sehingga 1 Mei 2018. 


Beikutan pengumuman awal tersebut, Dow Jones Industrial Average telah jatuh lebih daripada 500 poin atau 2%. Pengguna keluli berskala besar seperti pengeluar kereta Amerika Syarikat, Ford dan General Motors menunjukkan kejatuhan harga saham mereka. Namun, pengeluar logam Amerika Syarikat seperti AK Steel Holding, U.S. Steel dan Nucor pula menunjukkan sisi berbeza iaitu keuntungan yang besar. Malah, U.S. Steel berkata mereka akan membuka semula kilang di Illinois.

Negara pedagang lain iaitu China, Kanada, dan Kesatuan Eropah pula memberikan respon negatif terhadap pengumuman awal tersebut (yang tidak menyebut pengecualian untuk Kanada dan Mexico). Kanada adalah pembekal keluli terbesar untuk Amerika Syarikat iaitu 16%, diikuti oleh Brazil (13%), Korea Selatan (10%), Mexico (9%) dan sebenarnya China hanyalah 2%. Dari tahun 2013 hingga 2016, Kanada merupakan sumber import aluminium terbesar ke Amerika Syarikat.

Kesan pengenaan tarif tersebut menyaksikan China telah mengancam untuk membendung import kacang soya ke Amerika Syarikat manakala Menteri Perdagangan Kanada, Francois-Phillippe Champagne, berkata tarif tersebut "tidak masuk akal". Jean-Claude Juncker, Presiden European Commission menyatakan legal challenge akan dibuat di World Trade Organization (WTO) hasil penguatkuasaan tarif Amerika Syarikat tersebut. 

Terkini, Trump telah merancang untuk mengeluarkan senarai import China yang dicadangkan akan dikenakan tarif. Kurang dari 24 jam kemudian, Beijing turut mengumumkan tarif baru pada 106 produk Amerika Syarikat.


Sejarah Trade War 

1) Perancis VS Itali

Tidak lama selepas penyatuan Itali pada tahun 1871, negara baru tersebut beralih kepada kawalan untuk menjaga industri mereka yang baru ‘merangkak’ dengan menamatkan perjanjian perdagangannya dengan Perancis yang telah dimeterai sejak tahun 1886. 

Itali telah menaikkan tarif sehingga 60% bagi melindungi industri mereka dan mengurangkan persaingannya dengan Perancis. Kerajaan Perancis pula bertindak balas dengan enggan berunding dan sebaliknya mengancam Itali dengan mengenakan tariff punitive sekiranya Itali tidak menurunkan tarif tersebut. Tariff punitive ialah cukai yang sangat tinggi dikenakan oleh kerajaan ke atas import mereka bagi melindungi pengeluar di negara mereka sendiri. (Senang faham apa yang kerajaan Malaysia telah buat ke atas kereta import bagi melindungi pengeluar tempatan). 


Kedua-dua negara merasakan kesan negatif perang perdagangan tersebut tetapi impak yang dibawakan amatlah menggerunkan. Perdagangan antara Perancis-Itali jatuh secara drastik diikuti dengan perubahan perolehan bekalan daripada negara-negara lain. Hubungan perdagangan antara Itali, Jerman dan Austria-Hungary saban tahun menjadi semakin baik dan berpengaruh sehingga membawa kepada Perang Dunia Pertama (World War I). 

2) The Smoot-Hawley Tariff, Act of 1930 dan penubuhan WTO 

Perang perdagangan yang paling terkesan telah berlaku pada abad ke-20. Ia bermula selepas Presiden Herbert Hoover menandatangani Akta Tarif 1930 atau juga dikenali sebagai The Smoot Hawley Tariff yang berkuat kuasa pada tahun 1930. Terdapat lebih daripada 20,000 barangan import telah dikenakan tarif oleh Amerika Syarikat bagi menyelamatkan kilang-kilang tempatan. Perang perdagangan bermula apabila Kanada yang memimpin rakan dagangan lain membalas dengan mewujudkan tarif ke atas eksport Amerika Syarikat yang memberikan impak besar apabila saham Amerika Syarikat menjunam sehingga 61%. 
Negara-negara Eropah turut meletakkan cukai ke atas barangan Amerika Syarikat sehingga merencatkan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Eropah. Keadaan ini menyukarkan Amerika Syarikat untuk merangkak daripada kemerosotan ekonomi. Perbuatan Amerika Syarikat menaikkan tarif import bukannya memulihkan ekonomi mereka tetapi sebenarnya memburukkan lagi The Great Depression. Malah perang perdagangan telah bertukar menjadi peperangan sebenar, Perang Dunia II (World War II). 

Itulah sebabnya selepas perang berakhir, Pertubuhan Perdagangan Dunia atau World Trade Organization (WTO) telah ditubuhkan untuk mengawal selia perdagangan antarabangsa dengan harapan tidak lagi berulang perang perdagangan antarabangsa yang terjadi sebagaimana tahun 1930-an.

Baca juga mengenai: The Black Monday

Kesimpulan 

Hari ini, Presiden Trump mungkin menganggap Amerika Syarikat boleh bertindak secara unilateral tanpa akibat. Sejarah ekonomi pula menunjukkan keadaan ini tidak memberi manfaat kepada mana-mana negara. Ekonomi dunia saling bergantungan antara satu sama lain, jadi akibat melaksanakan dasar perdagangan "negara saya dulu" boleh membawa impak yang buruk.


Bahaya mengabaikan sejarah sebenarnya akan memakan diri sendiri. Walaupun teori asas perdagangan antarabangsa boleh meningkatkan pendapatan secara amnya namun perang perdagangan hanyalah mewujudkan satu pemenang dan mungkin banyak lagi negara yang akan kalah. Impak kekalahan pula akan memberi tekanan negatif kepada ekonomi dunia. 

Kita tunggu dan lihat kerana menurut pakar ekonomi impak perang perdagangan yang berlaku hari ini hanya boleh dilihat selepas 60 hari daripada tarikh penguatkuasaan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. 

Yang penting Kita OK! 🦋

Sumber: Wikipedia, Investopedia, CNBC.com, theconversation.com, marketwatch.com, nytimes.com