Kisah Menarik Gold Standard - Market Demon

Wednesday, March 7, 2018

Kisah Menarik Gold Standard




Emas telah digunakan sebagai matawang pilihan sejak ribuan tahun dahulu. Penggunaan terawal yang direkodkan adalah pada 643 SM di Lydia (sekarang dikenali sebagai Turki). Emas merupakan sebahagian daripada mineral semulajadi yang dikenali sebagai electrum, yang digunakan oleh penduduk Lydia untuk membuat syiling. Pada 560 SM penduduk Lydia telah menemui proses mengasingkan emas dari perak dan mencipta syiling emas yang pertama.

Pada zaman dahulu, matawang dinilai berdasarkan jenis logam yang digunakan. Manakala negara yang mempunyai emas yang paling banyak dianggap sebagai negara yang paling kaya. Oleh sebab itulah Sepanyol, Portugis dan England telah menghantar pengembara untuk meneroka “New World”. Mereka bersaing antara satu sama lain untuk mengumpul emas sebanyak mungkin.

Pengenalan Kepada Gold Standard

Gold Standard merupakan satu sistem kewangan di mana matawang rasmi sesebuah negara disandarkan nilainya kepada harga emas. Sejak ribuan tahun dahulu emas telah dianggap sebuah komoditi yang sangat berharga kerana sifatnya yang sukar ditemui dan merupakan logam paling stabil terhadap bahan kimia.

Apabila emas ditemui di Sutter’s Ranch, USA pada 1848, ia telah menarik perhatian ramai pihak lalu mendorong kepada Gold Rush di California. Ini sedikit sebanyak telah menyatukan Amerika Barat. Pada tahun 1861, Setiausaha Perbendaharaan, Salmon Chase telah mencetak matawang pertama Amerika Syarikat.

Ini mendorong negara-negara lain untuk memperkenalkan matawang mereka sendiri bagi bersaing di peringkat global. Lantas Gold Standard diperkenalkan. Pihak kerajaan dapat menebus nilai wang kertas kepada emas yang sama nilainya.  Ini bermakna transaksi dapat dilakukan menggunakan matawang kertas tanpa perlu membawa emas yang berat ke mana-mana. Gold standard juga telah meningkatkan kepercayaan pengguna kepada wang kertas. Wang kertas kini mempunyai nilai yang disandarkan kepada emas. Akan tetapi nilai emas menurun apabila lombong emas besar yang baru di temui.

Pada 1913, Kongres telah menubuhkan Federal Reserve untuk menstabilkan harga emas dan matawang. Malangnya sebelum ia dapat dilaksanakan Perang Dunia Pertama telah tercetus. Ini membuatkan negara-negara Eropah terpaksa menggantung Gold Standard buat sementara waktu supaya mereka dapat mencetak lebih banyak matawang untuk memperkuatkan angkatan perang.

Pencetakan wang secara berlebihan ini telah menyebabkan hyperinflation di mana terdapat lebihan wang di dalam pasaran seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga barang secara mendadak. Selepas perang tamat, negara-negara tersebut menyedari kepentingan untuk menyandarkan matawang mereka kepada emas. Oleh sebab itu kebanyakan negara kembali menggunakan Gold Standard.

Gold Standard dan The Great Depression

Pada awal kurun ke-19, terdapat perbezaan diantara sistem Gold Standard yang digunakan oleh kebanyakan negara. Namun kepentingan emas sebagai tiang kepada kestabilan ekonomi bagi mengelakkan inflasi yang tidak terkawal tidak dapat dinafikan. Bank-bank utama Eropah menjadi pengawal kepada sistem kewangan baru ini.

Apabila Great Depression tercetus, banyak negara telah menggantung Gold Standard semula. Kejatuhan pasaran saham pada 1929 telah menyebabkan para pelabur mula melabur dalam pasaran matawang (Forex) dan komoditi. Melihat kepada kenaikan harga emas, orang ramai mula menukarkan matawang mereka kepada emas. Ini menyebabkan kekurangan dana dan bank mulai bankrup. Pelabur juga semakin hilang kepercayaan kepada sistem kewangan.

Federal Reserve pula sentiasa menaikkan interest rates untuk menaikkan kembali nilai matawang US Dollar. Kenaikan interest rate yang melampau telah memburukkan lagi keadaan apabila harga barangan menjadi semakin mahal dan kos untuk menjalankan perniagaan meningkat. Banyak syarikat bankrup menyumbang kepada kenaikan unemployment.

Pada 3 March 1933, Presiden Roosevelt yang baru dilantik pada ketika itu telah menghapuskan Gold Standard sekaligus menyebabkan kreditor hilang hak mereka untuk menerima emas sebagai pembayaran dan dikehendaki untuk menukar emas dalam pegangan mereka kepada US Dollar. 

Dalam perjanjian Bretton Woods (1944), emas tidak lagi sah digunakan sebagai matawang. Pada 1934, Gold Reserve Act ditubuhkan bagi melarang simpanan peribadi emas kecuali dengan lesen yang sah. Oleh kerana Amerika Syarikat mempunyai pegangan emas terbesar di dunia, kebanyakan negara lain telah menyandarkan nilai matawang mereka kepada US Dollar sekaligus menyebabkan AS menjadi matawang utama dunia.

Pada masa kini, emas masih lagi dilihat sebagai safe haven meskipun sering di manipulasi dan mendapat campur tangan dari bank pusat yang mengawal harganya. Ketiadaan emas sebagai “back up” kepada matawang menyebabkan matawang tersebut secara asasnya tiada nilai, melainkan nilai yang diwujudkan oleh bank pusat.