Rahsia Holy-Grail Bahagian 2 - Market Demon

Sunday, January 13, 2019

Rahsia Holy-Grail Bahagian 2


Psikologi - Kawalan Dalaman
Apa yang penting dalam trading? Hampir semua trader dan investor yang berjaya memahami tentang metafora Holy Grail. Kejayaan dalam trading dan investing datang dari kawalan dalaman. Kawalan dalaman tidak sukar untuk dicapai tetapi susah untuk kebanyakan orang memahami betapa pentingnya ia. Sebagai contoh, kebanyakan peserta pasaran percaya bahawa pasaran adalah entiti yang mencipta mangsa. Tetapi pasaran tidak mencipta mangsa, trader dan investor yang menjadikan diri mereka sebagai mangsa.

Setiap peserta pasaran mengawal nasibnya sendiri. Tiada trader akan berjaya tanpa memahami prinsip penting ini. Kebanyakan trader profesional mencapai kejayaan dengan kemahiran mengawal risiko. Mengawal risiko melawan kecenderungan semulajadi manusia. Kawalan risiko memerlukan kawalan dalaman yang luar biasa.

Kebanyakan spekulator yang berjaya pula mempunyai kadar kejayaan sebanyak 35-50%. Mereka tidak berjaya kerana kemampuan meramalkan pergerakan pasaran. Mereka berjaya kerana saiz keuntungan dagangan mereka jauh melebihi saiz kerugian mereka. Selain itu, pelabur konservatif yang berjaya adalah kontrarian. Mereka melakukan apa yang orang lain takut untuk lakukan. Mereka mempunyai kesabaran dan bersedia menunggu peluang yang tepat. Kejayaan trading dan investing memerlukan kawalan dalaman lebih daripada faktor-faktor lain. Inilah langkah pertama ke arah kejayaan dalam pasaran.

Kejayaan Trading Dari Perspektif Berbeza
Terdapat tiga perkara utama yang menjadi tiang kepada kejayaan trading :

  • Psikologi - 60%
  • Money Management - 30%
  • Sistem - 10%

Kebanyakan orang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem. Pembangunan sistem melibatkan komponen-komponen analisis. Ketiga-tiga aspek yang disebut di atas tadi sangat penting tetapi psikologi adalah yang paling penting, merangkumi kira-kira 60% dari kejayaan trading. Kawalan dalaman berada dalam kategori psikologi. Hujahnya sangat mudah, kita manusia dan bukannya robot. Untuk mengambil sesuatu keputusan dan tindakan kita perlu memproses maklumat melalui otak. Seterusnya, tindakan diperlukan untuk merancang dan melaksanakan sistem trading. Semua ini melibatkan emosi dan psikologi. Keadaan mental yang tidak baik boleh mengganggu keupayaan kita dalam membuat keputusan seterusnya memberi kesan kepada tindakan kita.

Katakan anda memiliki sistem trading yang boleh memberikan anda peratus ketepatan sebanyak 100%. Sistem ini hanya menyumbang 10% kepada kejayaan anda. Manakala psikologi dan money management anda bersamaan 0%. Dengan sistem yang hebat ini, anda mungkin akan berjaya untuk jangka pendek tetapi bukan untuk jangka panjang. Kejayaan trader terletak kepada keseluruhan siri trade yang dilakukannya, bukan pada satu trade yang bersifat jangka pendek. Oleh sebab peratus ketepatan sistem yang anda gunakan bersamaan 100%, anda akan merasa tekanan yang lebih hebat kerana anda mahu elak dari melakukan kesilapan yang mana boleh menyebabkan peratus ketepatan sistem anda jatuh. Tanpa psikologi dan money management yang baik, jika terjadi satu kesilapan, anda akan stop out, total loss atau jatuh dengan teruk. Mungkin selepas itu anda akan berputus asa.


Mungkin anda mempunyai pengalaman menghadiri seminar yang dijalankan oleh pakar pelaburan yang menerangkan resepi kejayaan beliau. Seperti orang lain, anda mungkin terkesan dengan beberapa seminar yang anda hadiri. Boleh jadi anda meninggalkan seminar dengan penuh keyakinan bahawa anda mampu membuat keuntungan menggunakan kaedah yang dikongsi oleh pakar pelaburan. Malangnya, apabila anda cuba melaksanakan kaedah yang diajar, anda dapati sesuatu tidak berfungsi dengan baik atau anda tidak mampu menerapkan apa yang anda pelajari.

Kenapa situasi ini terjadi? Sebabnya ialah anda tidak menyusun struktur pemikiran anda sama seperti pakar pelaburan tadi. Struktur mentalnya, cara beliau berfikir, adalah sebahagian dari kunci kejayaannya. Ringkasnya, anda cuma memiliki kaedah beliau tetapi tidak memiliki struktur pemikiran beliau. Apabila anda menyertai bengkel atau kelas pelaburan, anda sebenarnya hanya memperolehi 10% dari resepi untuk berjaya sebagai trader atau investor. Ramai orang berputus asa dan berhenti separuh jalan kerana mereka hanya memiliki 10% dari komponen untuk berjaya. Mereka percaya bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran sebagai trader. Tetapi kemahiran boleh dibentuk.

Penutup
Holy Grail bukanlah sumber ajaib yang menjadi rahsia kepada pasaran. Menurut Joseph Campbell, metafora ini merujuk kepada proses pencarian diri (mengenal diri). Untuk membuka kunci Holy Grail, anda perlu menghargai keupayaan pemikiran anda dan menjadi unik. Maksudnya, tidak bergantung kepada pendapat orang lain.

Holy Grail juga bukan sistem perdagangan ajaib, ia adalah usaha dalaman. Anda perlu mencari atau membina sistem yang berfungsi sesuai dengan personaliti anda. Anda mesti memahami konsep sebenar Holy Grail dalam perjalanan anda untuk menjadi trader berjaya.



Baca juga : Rahsia Holy-Grail Bahagian 1


No comments: