Kejatuhan Venezuela : Dari Negara Kaya Menjadi Negara Miskin - Market Demon

Saturday, January 26, 2019

Kejatuhan Venezuela : Dari Negara Kaya Menjadi Negara Miskin


Minyak merupakan sumber utama ekonomi Venezuela. Ia menyumbang sebanyak 95% daripada pendapatan eksport negara tersebut. Sekarang, dengan protes yang merebak di seluruh negara dan pengiktirafan ketua pembangkang, Juan Guaido sebagai Presiden baru, keadaan di negara Amerika Latin itu menjadi tidak stabil. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan ke atas import minyak mentah Venezuela, langkah yang akan memberi tamparan kepada industri minyak negara Amerika Latin.

SOURCE: PODE, MEMORIA PETROLERA AND OPEC SECONDARY SOURCES
Pengeluaran minyak Venezuela menurun sejak berada di bawah pentadbiran mentor Maduro, Hugo Chavez. Namun, pengeluaran minyak menjadi semakin berkurang sejak dua tahun lalu di bawah kerajaan Maduro. Oleh kerana pengeluaran minyak menjunam sehingga 1 juta tong sehari, tahap terendah dalam 7 dekad, Venezuela telah kehabisan wang tunai untuk membayar makanan dan ubat-ubatan. Jumlah pendapatan rakyat tidak dapat bersaing dengan peningkatan hiperinflasi yang dianggap oleh International Monetary Fund (IMF) sebagai tidak masuk akal.

Hidup di negara di mana harga makanan boleh berubah dalam masa sejam, telah mendorong 1.5 juta orang warga Venezuela berpindah ke negara lain. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat 3 juta penduduk Venezuela yang tinggal di luar negara, termasuk 2.4 juta yang berada di seluruh Amerika Latin dan Caribbean.

SOURCE: INTERNATIONAL ORGANIZATION FOR MIGRATION AND AMERICAN COMMUNITY SURVEY

Keadaan semakin buruk menjelang Ogos 2017 apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan sekatan kewangan terhadap Venezuela dan syarikat minyak negara itu, PDVSA, dalam usaha untuk menghukum Maduro atas salah urus ekonomi dan rasuah.

Bank-bank di Amerika Syarikat menjadi lebih berhati-hati dalam memberi kredit kepada syarikat penapis minyak Amerika Syarikat untuk membeli minyak mentah Venezuela. Syarikat minyak antarabangsa yang beroperasi di negara yang terkenal dengan jolokan Uncle Sam itu menghentikan pelaburan di tengah-tengah kebimbangan bahawa mereka akan dilihat sebagai melanggar sekatan.

Penurunan pengeluaran minyak Venezuela juga telah menyebabkan negara itu menjadi semakin kurang berpengaruh di seluruh Amerika Latin. Sebelum ini Venezuela pernah menyediakan minyak bersubsidi kepada negara-negara jiran. Kini, mereka perlu menimbun semua yang dihasilkan untuk membayar hutang pemegang bon, serta China dan Rusia yang telah meminjamkan hampir $69 bilion dalam tempoh satu dekad yang lalu.

Setakat ini, pinjaman yang diberikan oleh Chinese Development Bank (China) dan Rosneft Oil Co PJSC (Rusia) telah dirundingkan semula atau dibayar dengan penangguhan. Venezuela juga terpaksa membayar semula hutang negara mereka dengan minyak. Dengan jumlah pengeluaran yang jatuh, syarikat minyak Venezuela, PDVSA terpaksa menutup kilang-kilang penapis minyak mereka. Kesan daripada itu, berlaku kekurangan bahan bakar terutamanya di kawasan desa. Ini menambahkan lagi kesakitan kepada penduduk Venezuela. Terbaru, Jabatan Negara Amerika Syarikat dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan yang baru ke atas Venezuela. Ini akan memberi tamparan baru kepada industri minyak negara itu.

"The imperialists see extremists everywhere. It's not that we are extremists. It's that the world is waking up. It's waking up all over, and people are standing up." - Hugo Chavez

Ikuti kami di Twitter Market Demon

No comments: