George Soros merupakan pengasas dan pengerusi Soros Fund Management LLC. Beliau menduduk tangga ke-20 senarai Forbes 400 orang terkaya di dunia pada tahun 2017. Soros mengumpul kekayaannya sebagai salah seorang spekulator terhebat dunia dalam pasaran kewangan global. Taruhannya yang terkenal melawan British Pound pada tahun 1992 telah membuahkan hasil lebih daripada $1 bilion hanya dalam masa 24 jam sehingga digelar The Man Who Broke The Bank of England. Quantum Fund, firma pelaburan miliknya memperoleh purata pulangan tahunan sebahyak 33% selama lebih daripada 30 tahun. Penglibatan beliau dalam usaha kebajikan juga mendapat banyak pujian, sebaliknya pembabitan beliau dalam politik telah mencetuskan pelbagai kontroversi.
Pada 6 April 2018, dilaporkan bahawa Soros Fund Management bersedia untuk terlibat dalam perdagangan mata wang crypto. 3 bulan sebelumnya, ketika berucap di Forum Ekonomi Dunia, Soros memanggil aset digital itu sebagai "bubble." Dalam artikel kali ini Market Demon akan berkongsi bagaimana lagenda George Soros mengumpul kekayaannya.
Tahun-tahun Awal
George Soros dilahirkan dalam keluarga Yahudi, bertempat di Budapest, Hungary, pada 12 Ogos 1930. Nama keluarganya ialah Schwartz. Bapanya kemudian menukar namanya kepada Soros pada tahun 1936 bagi mengelakkan dari masalah yang berkaitan dengan agama mereka. Bapanya, Tivadar, merupakan seorang tahanan Perang Dunia I semasa revolusi Rusia. Tivadar kemudian berjaya melarikan diri dari Rusia dan kembali bersatu dengan keluarganya di Budapest.
Soros melalui pengalaman penuh penganiayaan semasa kecil. Beliau berdepan dengan sentimen buruk dan serangan perkauman terhadap bangsa Yahudi semasa pendudukan Nazi. Soros membantu bapanya memalsukan ribuan dokumen bagi membantu bangsa mereka melarikan diri dari Hungary semasa Holocaust terjadi. Sepanjang tempoh Holocaust, mereka terpaksa hidup dalan persembunyian. Ada waktunya mereka terpaksa berpisah sesama sendiri. Dari pengalaman ini, Soros telah mengasah kemahiran hidupnya.
Wall Street
Menjelang tahun 1947, Soros mendaftar masuk ke London School of Economics di England. Mentornya, Karl Popper, adalah seorang ahli falsafah yang memperkenalkan idea "open society." Open society atau masyarakat terbuka merupakan ideologi yang bertentangan dengan pemerintahan diktator. Dari Karl Popper, Soros mula membentuk falsafah beliau sendiri. 4 tahun selepas tamat pengajian, Soros mendapat tawaran kerja di sebuah bank di London.
Pada tahun 1956, Soros berpindah ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan tawaran kerja sebagai arbitrage trader di firma yang bertapak di New York, F.M. Mayer. Beberapa tahun kemudian, Soros beralih angin ke firma lain, Arnold & S. Bleichroeder. Firma Arnold & S. Bleichroeder telah menjadi titik perubahan Soros sebagai trader. Pada tahun 1967, beliau dipertanggungjawab untuk menguruskan offshore fund pertamanya, First Eagle Fund. Kejayaannya menguruskan First Eagle Fund membawa kepada pelancaran dana kedua dipanggil Double Eagle Fund.
Quantum Fund
Pada tahun 1973, Soros dan pembantunya, Jim Rogers, meninggalkan Arnold & S. Bleichroeder lalu membentuk Soros Fund Management. Distrukturkan sebagai hedge fund, ia dinamakan semula sebagai Soros Fund dan pada tahun 1979 sebagai Quantum Fund. Quantum Fund memperoleh pulangan sebanyak 3,365% sejak penubuhannya.
Menjelang tahun 1981, aset Quantum Fund meningkat kepada $381 juta, sementara kekayaan Soros pula dianggarkan bernilai lebih $100 juta. Jim Rogers meninggalkan Quantum Fund pada tahun yang sama George Soros digelar "The World Greatest Money Manager" oleh Institutional Investor. Nama Soros mula dikenali. Ketiadaan Jim Rogers, tidak memberi masalah kepada Soros. Soros menyerahkan pengurusan Quantum Fund kepada beberapa orang pengurus yang lain. Quantum fund menjana pulangan sebanyak 122% pada tahun 1985, $1.5 bilion lebih tinggi dari tahun sebelumnya.
Kejayaan Demi Kejayaan
Pada tahun 1989, George Soros merekruit seorang lagi pelabur hebat Stanley Druckenmiller. Druckenmiller meneruskan kejayaan Quantum Fund dengan menjana purata pulangan tahunan sebanyak 40%.
Trade terkenal melibatkan George Soros berlaku pada tahun 1992 apabila beliau berdagang menentang British Pound. Dalam peristiwa tersebut, Quantum Fund meraih keuntungan lebih $1 bilion. Dalam tahun yang sama, Soros turut terlibat dalam beberapa perdagangan besar yang lain melalui Tokyo Stock Exchange, Swedish Krona, dan Italian Lira. Pada tahun itu, keuntungan yang dijana oleh Soros sendiri melebihi nilai $650 juta.
Pada tahun 1993, Soros menjadi orang Amerika pertama yang memperoleh pendapatan lebih $1 bilion setahun. Pulangan tahunan Quantum Fund pada ketika itu sebanyak 61.5%. Soros mempelbagaikan pelaburannya dengan menubuhkan beberapa dana baru di bawah Quantum Fund termasuk Quantum Realty Fund pada tahun 1993 dan Quantum Industrial Holdings Fund pada tahun 1994. Quantum Industrial Holdings Fund diletakkan di bawah pengurusan Druckenmiller. Quasar Fund dilancarkan lebih awal, pada tahun 1991. Quantum Emerging Growth dan Quota Fund menyusul pada tahun 1997. Semua dana ini adalah sebahagian daripada Soros Fund Management LLC.
"Once we realize that imperfect understanding is the human condition, there is no shame in being wrong, only in failing to correct our mistakes."
Ikuti Market Demon di Twitter.
No comments:
Post a Comment