Lima Kitaran 'Bubble' - Market Demon

Saturday, May 12, 2018

Lima Kitaran 'Bubble'



‘Gelembung’ atau lebih dikenali sebagai ‘bubble’ telah didefinisikan sebagai satu fenomena pelaburan yang menonjolkan asas "pelaburan emosi". ‘Bubble’ berlaku apabila permintaan para pelabur meningkat pada satu aset sehingga memacu harga aset tersebut melebihi nilai sebenar atau rasional yang boleh diambil daripada aset tersebut. 

Seperti kanak-kanak yang suka meniup air sabun sehingga mengeluarkan ‘gelembung’ di udara, harapan mereka agar ‘gelembung’ itu naik tinggi ke udara. Begitulah juga ‘Bubble’ dalam dunia pelaburan, para pelabur yang terlibat berharap agar nilai pelaburan mereka akan naik selama-lamanya.

Harapan mereka hanya disandarkan pada emosi dan bukannya atas kajian atau teknik-teknik yang telah dipelajari, maka harapan mereka pada suatu ketika akan hilang di udara tanpa dapat dijangka bila waktunya ‘bubble’ itu meletup. Akhirnya, tiada apa yang dapat diselamatkan dan wang pelaburan akan hangus begitu sahaja. 

Oleh itu amatlah penting untuk anda kenali lima (5) kitaran yang sering dikaitkan dengan 'bubble'. Minsky telah mengenal pasti lima peringkat kitaran berlakunya ‘bubble’ – Displacement, Boom, Euphoria, Pengambilan Untung dan Panik. Walaupun terdapat pelbagai interpretasi terhadap kitaran sebenar ‘bubble’, namum corak umum ini adalah kebiasaan yang berlaku. 


1. Displacement (Pemindahan) 

Displacement (Pemindahan) berlaku apabila pelabur cenderung terhadap paradigma baru, seperti peralihan penggunaan teknologi baru atau berlaku penurunan kadar faedah berbanding sebelumnya. 


Contohnya seperti penurunan kadar dana persekutuan (federal funds rate) daripada 6.5% pada bulan Mei 2000, kepada 1% pada bulan Jun 2003. Dalam tempoh tiga tahun, kadar faedah tetap mortgage (gadai janji) untuk 30 tahun turun sebanyak 2.5% kepada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 5.21%, permulaan berlakunya ‘housing bubble’.


2. Boom

Boom berlaku apabila harga naik secara perlahan pada mulanya dan diikuti dengan displacement kemudian mendapat momentum kerana semakin ramai para pemain memasuki pasaran. Semasa fasa ini, aset yang berkaitan akan menarik liputan media dengan meluas. Pemain pasaran akan merasa takut untuk kehilangan apa yang boleh menjadi peluang sekali seumur hidup (FOMO) sehingga menjerat lebih banyak spekulasi dan seterusnya menarik lebih ramai pemain ke dalam fasa ini. 


3. Euphoria

Fasa ini sikap berhati-hati seperti tiada dalam kamus hidup kerana keadaan pasaran yang menunjukkan harga aset meroket (to the moon). Teori "greater fool" akan sentiasa bermain di mana-mana jika tidak mengambil peluang dari sekarang. Penilaian terhadap pulangan pelaburan akan mencapai tahap yang tidak masuk akal semasa fasa ini. 

Sebagai contoh kemuncak kejadian 'real estate bubble' di Jepun pada tahun 1989, harga tanah di Tokyo dijual pada nilai $139,000 setiap kaki persegi, iaitu lebih 350 kali ganda nilai hartanah yang dijual di Manhattan. Selepas 'bubble bust' (pecah), nilai tanah tersebut hilang kira-kira 80% daripada nilai inflasi dan harga saham turut menurun sebanyak 70%. Begitu juga keadaan ketika kemuncak 'internet bubble' pada Mac 2000 di mana nilai gabungan kesemua saham teknologi yang didagangkan di Nasdaq lebih tinggi daripada KDNK (GDP) kebanyakan negara. 

Semasa fasa Euphoria ini juga, langkah-langkah penilaian baru dan metrik akan turut diperkatakan untuk mewajarkan kenaikan harga aset tanpa henti. 


4. Pengambilan Untung

Pada masa ini pemain pasaran yang pintar - individu atau organisasi yang memelihara tanda-tanda amaran - pada umumnya akan mulai menjual aset mereka dan mengambil keuntungan. Tetapi menganggarkan masa yang tepat sebelum 'bubble bust' (pecah) adalah amat sukar dan sangat berbahaya kepada keadaan kewangan semasa kerana:

"Pasaran boleh kekal tidak masuk akal lebih lama daripada anda boleh kekal waras" ~ John Maynard Keynes

Jika dilihat sejarah lampau, kejadian 'bubble bust' (pecah) hanya memerlukan peristiwa yang agak kecil tetapi sebaik ia dicucuk, 'bubble' tidak dapat "mengembung" lagi.

Pada bulan Ogos 2007, contohnya, bank Perancis BNP Paribas telah menghentikan pengeluaran daripada tiga dana pelaburan kerana ia tidak dapat menilai pegangan mereka sehingga mendedahkan krisis subprime mortgage (gadai janji subprima) di Amerika Syarikat . Walaupun perkembangan ini pada awalnya seperti tidak memberi impak besar kepada pasaran kewangan dan ia telah diketepikan memandangkan pasaran ekuiti global terus mencapai tahap tertinggi baru (ATH). Namun, jika dilihat semula, peristiwa yang agak kecil ini sememangnya merupakan tanda amaran awal bahawa pada bila-bila masa pasaran akan bergolak dalam tempoh masa terdekat. 


5. Panik

Ketika fasa panik ini, harga aset akan mula berubah arah dan turun dengan cepat. Para pelabur dan spekulator akan berhadapan dengan panggilan margin call (MC) dan nilai pegangan terus menjunam sehingga memaksa setiap pemain membubarkan aset mereka (liquidate) pada sebarang harga. Memandangkan bekalan melebihi permintaan, makan harga aset tersebut akan menurun dengan ketara. 

Contoh situasi panik global dalam pasaran kewangan berlaku pada Oktober 2008, beberapa minggu selepas Lehman Brothers diisytiharkan muflis dan Fannie Mae, Freddie Mac dan AIG hampir runtuh. S&P 500 menjunam hampir 17% bulan itu dan merekodkan prestasi bulanan ke-9 terburuknya. Dalam satu bulan, pasaran ekuiti global telah kehilangan $9.3 trilion iaitu 22% daripada gabungan keseluruhan permodalan pasaran.


Kesimpulannya, Minsky dan beberapa pakar lain berpendapat, 'speculative bubbles' atau gelembung spekulatif dalam beberapa aset sebenarnya tidak dapat dielakkan dalam ekonomi pasaran bebas. Walau bagaimanapun, jika seringkali memerhati kitaran yang berlaku dalam pembentukan 'bubble' akan dapat membantu anda untuk melihat dengan lebih meluas dan mengelakkan menjadi pemain yang sentiasa mengalami kegagalan. 🦋