Asia Tenggara Sedia Hadapi Teknologi Blockchain - Market Demon

Thursday, March 15, 2018

Asia Tenggara Sedia Hadapi Teknologi Blockchain

Kebanyakan bank-bank pusat di rantau Asia Tenggara menerima secara terbuka idea di sebalik teknologi yang dibawakan oleh cryptocurrencies. Namun begitu, langkah berjaga-jaga masih dititikberatkan oleh kebanyakan bank pusat serantau dalam mengendalikan transaksi cyrptocurrencies seperti perihal yang membabitkan pengubahan wang haram dan perlindungan data peribadi pengguna.

Ini kerana, negara serantau tidak mempunyai pengaruh terhadap ciptaan tersebut dan transaksi yang membabitkan cryptocurrencies secara globalnya tidak melibatkan kawalan keselamatan domestik. Teknologi tersebut yang juga dikenali sebagai Distributed Ledger Technologies (DLT) ini berfungsi dalam bentuk pengagihan lejer (decentralised) dan tanpa mengharapkan rekod disimpan oleh satu pihak sahaja (berpusat).

Dari sudut kewangan, teknologi blockchain iaitu salah satu bentuk DLT ini dilihat boleh menjanjikan kepantasan, penjimatan dan jaminan keselamatan yang lebih tinggi. Malah, transaksi pindahan wang daripada pelbagai negara juga boleh dilakukan dalam tempoh beberapa saat berbanding sistem sedia ada kini yang mengambil masa lebih lama.


Kawalan Undang-Undang Yang Lebih Ketat
Walaupun masih tidak sah dari segi undang-undang, namun kebanyakkan negara di rantau Asia Tenggara tidak menghalang penggunaan cryptocurrencies. Malah, setiap warga negara boleh membuat pelaburan/perdagangan cryptocurrencies sepertimana kebenaran untuk melabur/berdagang mata wang fiat.

Filipina adalah negara serantau yang paling terhadapan dari segi perundangan. Sehingga Februari 2018, bank pusat Filipina telah menetapkan keperluan untuk mendapatkan permit khas bagi pertukaran cryptocurrencies dan kewajipan untuk berdaftar dengan Anti-Money Laundering Council (AMLC).

Pada Januari 2017, Indonesia telah menemui bukti berkaitan penggunaan matawang Bitcoin untuk membiayai pengganas di kawasan serantau. Oleh itu, langkah memperketatkan penggunaan cryptocurrencies turut dipandang serius oleh kerajaan Indonesia dengan memastikan setiap warga negaranya menyediakan maklumat peribadi dan pengesahan identiti sebelum membuat sebarang pelaburan/perdagangan.

Lain-lain negara serantau iaitu Malaysia dan Thailand turut bersiap sedia dan memantau penggunaan cyrptocurrencies di negara masing-masing. Aspek lain yang turut hangat diperkatakan adalah dari segi perlaksanaan cukai sama ada terhadap individu ataupun organisasi terlibat. Singapura misalnya telah mengenakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan terhadap pasaran cryptocurrencies dan Indonesia pula dalam rancangan untuk mengenakan 10% VAT pada setiap dagangan. 


Meraikan Revolusi Teknologi Baharu
OCBC Bank dari Singapura merupakan bank pertama dari negara serantau yang telah menggunakan teknologi customised blockchain untuk membuat pindahan wang kepada bank cawangannya di Malaysia pada lewat tahun 2016. Krungsi Bank dari Thailand telah mengumumkan pada Oktober lalu mengenai kejayaannya membuat transaksi pindahan antarabangsa kepada syarikat petrokimia multinasional milik negaranya, IRPC juga melalui teknologi customised blockchain yang dibina secara dalaman.

Pihak berkuasa monetari Singapura masih dalam kajian terhadap 3 prototaip membabitkan penyelesaian hosting real-time  dan lain-lain masalah berkaitan cryptocurrencies. Bank Indonesia juga dalam penggunaan percubaan dengan teknologi blockchain walaupun tiada kenyataan rasmi mengenai motif percubaan tersebut. Perlaksanaan penuh teknologi blockchain dan penggunaan cryptocurrencies secara meluas di rantau ini mungkin boleh dilihat dalam tempoh 3 ke 5 tahun yang akan datang. 🦋