Jika Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai - Market Demon

Saturday, April 7, 2018

Jika Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai



Jika Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai

Pepatah yang seringkali kita dengar tapi tahukah apa maksud tersirat disebaliknya? Maksud tersirat jika ditafsirkan membawa maksud "Sekiranya Takut Kepada Risiko, Jangan Dekati Bahaya." Persoalan lain pula timbul, "Apa itu risiko? Kenapa perlu takut kepada risiko?"

Risiko ialah konsep yang memperihalkan kebarangkalian berlakunya kemungkinan tertentu. Bahasa mudahnya, risiko ialah perkara yang berlawanan daripada kejayaan. Contohnya, anda seorang peniaga pasar malam, kejayaan pada anda ialah apabila jualan anda habis dijual. Jadi risiko yang mungkin anda akan hadapi ialah anda tidak membuat sebarang jualan pada malam itu.

Mudah bukan? Dengarkan pula pepatah english "Easier Said Than Done" yang bermaksud menerangkan sesuatu perkara itu lebih mudah daripada menghadapi/melaksanakannya. Jadi sebenarnya mudah untuk memahami apa itu risiko tetapi masih ramai yang gagal menguruskannya.

Masih ramai yang tidak tahu cara yang betul untuk menguruskan risiko walaupun setiap hari kita terdedah kepada pelbagai risiko. Berikut kami senaraikan beberapa kaedah pengurusan risiko yang anda boleh amalkan dalam kehidupan seharian (tidak tertakluk kepada pengurusan risiko dalam pelaburan sahaja).


1) Tetapkan Matlamat

Perkara pertama sebelum anda menguruskan risiko sudah tentu anda perlu mengenal pasti apakah matlamat hidup anda. Apakah kejayaan yang anda ingin kecapi? Mari kita cuba wujudkan satu situasi untuk memudahkan kefahaman anda.

Katakan anda seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan dengan keputusan di tangan cukup-cukup makan. Itu adalah keputusan yang mampu anda perolehi dengan usaha yang terbaik telah anda berikan sepanjang 3 ke 4 tahun belajar di universiti. Jadi matlamat anda selepas habis belajar di universiti ialah mendapat tempat di alam pekerjaan.


2) Menyenaraikan Kemungkinan Risiko

Langkah seterusnya sebenarnya ramai yang tidak peduli. Di sinilah poin utama untuk berjaya. Anda perlu mengenalpasti dan senaraikan risiko-risiko yang mungkin anda perlu hadapi.

Kita lihat dalam situasi di atas. Kejayaan anda adalah untuk mendapat tempat di alam pekerjaan. Risiko utama anda adalah anda tidak diterima bekerja untuk mana-mana organisasi. Rentetan daripada perkara tersebut anda berkemungkinan akan menghadapi lebih banyak risiko dalam hidup. Antara kemungkinan risiko yang anda akan hadapi:

  • Anda tidak mempunyai wang saku untuk menampung kehidupan harian anda.
  • Anda terpaksa menyusahkan orang lain terutamanya ibu bapa.
  • Anda tidak mampu membeli kereta atau rumah.
  • Anda mungkin terpaksa melupakan impian perkahwinan yang gilang gemilang.


3) Menyediakan Pelan Tindakan

Seterusnya, selepas anda sudah mengenalpasti kemungkinan risiko-risiko yang anda akan hadapi, anda perlu menyediakan pelan tindakan atau langkah-langkah untuk mengurangkan/mengelakkan terjadinya risiko-risiko tersebut.

Salah satu pelan tindakan mengurangkan risiko utama bagi situasi tidak diterima bekerja untuk mana-mana organisasi adalah dengan menyediakan resume yang terkini, lengkap dan komprehensif (Plan A). Anda sebenarnya boleh sahaja meniru resume yang terdapat di carian Google. Senaraikan resume yang boleh dijadikan contoh dan anda boleh menganalisis maklumat-maklumat biasa yang diletakkan di dalam resume.

Selain menyediakan resume yang mantap, anda juga perlu mengenalpasti dan menyenaraikan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk permohonan kerja (Plan B). Sebenarnya anda perlu menyediakan lebih banyak plan selain contoh Plan A dan B. Lebih banyak plan yang anda rangka, lebih mudah untuk anda menghadapi sebarang risiko. Sediakan beberapa plan agar proses ini berjalan lancar dan teratur selain anda boleh mengurangkan tekanan menghadapi risiko-risiko lain.


4) Analisis Proses Pelan Tindakan

Kemampuan menganalisis setiap tindakan yang telah dilakukan akan membantu anda untuk mengenal pasti kelemahan yang wujud sekaligus dapat mengurangkan/mengelakkan risiko-risiko yang mungkin berlaku.

Anda sudah sediakan beberapa plan bukan? Jadi mudahlah untuk anda menganalisis tindakan mana yang paling efektif dan efisien. Sebarang kelemahan semasa proses pelaksanaan perlu sentiasa diatasi/ditambahbaik.


5) Ulang Langkah 1-4


Pengurusan yang baik adalah menguruskan secara berterusan. Walaupun anda mungkin telah mencapai kejayaan yang diimpikan, namun risiko lain masih boleh berlaku. Ini kerana setiap matlamat perlu sentiasa ditingkatkan agar anda tidak berada di takuk yang sama.

Berusahalah ke arah kehidupan yang lebih baik walaupun ianya mungkin mengambil masa. Jangan terus berputus asa kerana setiap risiko yang anda hadapi sebenarnya memberi pengajaran/hikmah bernilai untuk diri anda jika anda mampu mengurusnya dengan baik.

Sayugia diingatkan, risiko boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Maka, mengurus risiko dengan baik adalah kunci kepada kejayaan dan perkara-perkara yang lebih hebat untuk berlaku dalam kehidupan anda.🦋