Bankrap: Adakah Dunia Anda Sudah Kiamat? - Market Demon

Wednesday, April 4, 2018

Bankrap: Adakah Dunia Anda Sudah Kiamat?





“ Hukum bagi yang meminjam sama ada sesama rakan, bank atau mana-mana institusi adalah wajib membayarnya ”
– (Datuk Muhammad Shukri, Mufti Kelantan
)

BANKRAP / MUFLIS

Perkataan duo yang taboo digeruni oleh sesiapa sahaja di negara ini. Mitos yang mengatakan bahawa semua harta akan dirampas, hilang hak untuk bekerja di syarikat korporat atau kerajaan, terpaksa bekerja sampai ke tua untuk membayar hutang telah berjaya menakutkan semua orang supaya tidak jatuh bankrap/muflis. Ya, sudah pasti orang yang waras tidak mahu jatuh bankrap/muflis tetapi ramai yang tidak tahu apa yang sepatutnya berlaku jika anda bankrap/muflis.

Persepsi yang salah mengenai proses kebankrapan dan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan perintah kebankrapan itu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, telah menyukarkan bukan sahaja MdI malah individu yang bankrap itu sendiri.

Jadi, bagaimana caranya untuk anda diisytiharkan bankrap?




Apa itu Kebankrapan?

Kebankrapan merupakan satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang tidak kurang daripada RM50,000.00. Kesan daripada Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman tersebut ialah segala harta hak milik individu yang bankrap akan diletak di bawah Ketua Pengarah Insolvensi dan akan tertakluk kepada tanggungjawab, sekatan dan halangan di bawah Akta Kebankrapan 1967.

*Akta baru 6 Oktober 2017 telah menaikkan jumlah hutang daripada RM30,000 kepada RM50,000

Apa itu MdI?

MdI ialah singkatan nama yang merujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia yang merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan menguruskan harta individu yang bankrap. Tugas MdI diketuai oleh seorang Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).

Apa itu KPI?

KPI ialah singkatan jawatan untuk Ketua Pengarah Insolvensi.

Di mana perintah kebankrapan dibuat?

Perintah kebankrapan dibuat di Mahkamah Tinggi di mana permohonan difailkan oleh pemiutang atau penghutang.

Tugas MdI bermula sebaik sahaja Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman (PP&PP) dikeluarkan oleh mahkamah. Dalam bahasa orang kebanyakan, PP&PP itu ialah perintah bankrap.

Dari sudut perundangan, Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan PP&PP terhadap si berhutang sama ada melalui petisyen pemiutang atau atas permohonan si berhutang itu sendiri.

Ia dibuat berpandukan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan 1969. Dengan PP&PP, segala hal ehwal aset, tanggungan si berhutang yang sekarang dipanggil si bankrap ditadbir dan diletak di bawah hak KPI untuk mengendalikan dan megagihkan setiap hasil kepada pemiutang yang layak.

Pembayaran hasil pentadbiran (yang dipanggil sebagai pembayaran dividen) dibahagi-bahagikan mengikut peratusan kepada para pemiutang (sekiranya terdapat lebih daripada satu) tanpa mengira siapa yang membuat petisyen bankrapsi.

Ramai yang salah anggap tugas MdI sebagai pihak kerajaan yang bertindak untuk mendapatkan hutang bagi para pemiutang. MdI bukan kaki pukul atau kaki peras ugut ya. MdI hanya melindungi anda daripada perkara tersebut dan daripada gangguan atau desakan pemiutang melalui pematuhan terhadap peraturan dan akta yang telah ditetapkan kerajaan Malaysia. Jadi jangan lari daripada MdI okay?

Tanpa peduli apa pun status atau pangkat pemiutang, mereka tidak boleh menyentuh si berhutang selagi individu tersebut dan aset-asetnya berada di bawah KPI. Jadi sekarang kita boleh anggap bahawa individu yang bankrap boleh dikatakan sebagai seorang yang untouchable – tidak boleh disentuh oleh sesiapa.

KPI juga faham tiada siapa yang mahukan dirinya diisytihar bankrap atau muflis namun akan ada wujudnya situasi di mana segala usaha telah dilakukan tetapi hutang masih tertunggak jadi pengisytiharan terpaksa dilakukan. Individu yang bankrap patut tahu akan haknya dan juga perkhidmatan perlindungan yang diberikan oleh KPI. Kerjasama daripada individu yang bankrap amat diperlukan supaya segala proses bagi melangsaikan hutang dapat diselesaikan secepat mungkin.

Sebab utama rakyat Malaysia bankrap/muflis

Dalam wawancara bekas KPI, Datuk Abdul Rahman Putra Taha bersama TheStar “Rakyat Malaysia yang bankrap kerana hutang kereta ialah 26.63%, pinjaman peribadi (25.48%), hutang rumah (16.87%), dan hutang perniagaan (10.24%),” kata beliau.

Beliau juga memberitahu bahawa jumlah keseluruhan orang yang diisytihar bankrap daripada tahun 2013 sehingga Ogos 2017 ialah 296,712. Selangor mempunyai 72,114 orang, diikuti Wilayah Persekutuan (46,377), Johor Baru (41,179) dan Pulau Pinang (22,136).

sumber foto: Jabatan Insolvensi Malaysia/ Bernama


Apakah tanggungjawab anda sebagai bankrap?



Pelepasan Automatik

Sebelum perubahan pelepasan automatik berkuat kuasa, individu yang bankrap hanya dibenarkan mendapat pelepasan daripada status bankrap setelah rayuan dibuat di Mahkamah atau mendapat sijil pelepasan daripada KPI. Selain itu, pelepasan hanya akan diberikan selepas 5 tahun dari tarikh status bankrap dijatuhkan.

Namun kini di bawah perubahan yang telah berkuatkuasa, individu yang bankrap boleh mendapat pelepasan automatik selepas 3 tahun dari tarikh pengfailan Penyata Hal Ehwal.

“Penguatkuasaan undang-undang kebankrapan yang baru dipinda bermula tahun ini. Jika mereka memenuhi kriteria kami, peminjam yang layak akan secara automatik dilepaskan daripada status bankrap tiga tahun dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal” –Datuk Abdul Rahman Putra Taha, Ketua Pengarah, Jabatan Insolvensi Malaysia

Selepas 3 tahun dari tarikh penyerahan kebankrapan, secara automatik individu yang bankrap akan dilepaskan dengan syarat, individu tersebut:
  • telah mencapai sasaran untuk sumbangan hutang mereka.
  • mengisytiharkan liabiliti mereka kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Selain daripada itu juga semua pemiutang tidak boleh membantah pelepasan dari status bankrap bagi beberapa jenis status bankrap seperti yang berikut:
  • penjamin sosial
  • individu bankrap/muflis yang mempunyai kecacatan seperti yang tertera di Akta Orang Kurang Upaya 2008
  • individu bankrap/muflis yang telah meninggal
  • individu bankrap/muflis yang mempunyai penyakit kronik

Di sini terletak keindahan dan kelebihan menjadi individu yang bankrap. Menurut bekas KPI, Mokhtarudin, individu bankrap yang sudah dibebaskan juga bebas sebenar-benarnya daripada semua hutang yang ditanggung sebelumnya, “seperti seorang yang memulakan kehidupan baru tanpa ada hutang sesen pun.” - Reborn!

Sebagai contoh:

Abu berhutang dengan bank A dan B yang berjumlah RM2 juta pada tahun 2007. Tetapi pada tahun 2008, bisnes Abu telah hilang ke laut kerana krisis ekonomi yang melanda. Kemudian Abu diisytihar bankrap. Jadi apa yang Abu perlu lakukan?

Abu perlu memberi kerjasama yang baik dengan KPI dan berikan kesemua maklumat yang tepat mengenai ast-aset miliknya. Setelah diteliti, KPI dapat menjalankan tugas untuk mentadbir harta-harta milik Abu dengan baik dalam tempoh masa yang cepat dan efisyen. Harta Abu yang dapat ditadbir ialah sebuah rumah, sebuah kereta dan juga kebun kecil miliknya dan kesemuanya dapat dijual dalam tempoh 2 tahun. Tetapi hasil jualan hanya mencapai RM400,000 dan telah diagihkan kepada bank A dan B. Apa yang terjadi lagi RM1.6 juta? Selepas 3 tahun, Abu secara automatik mendapat pelepasan daripada status bankrap. Seperti yang diberitahu, Reborn! Fresh! New Guy!

Hasilnya, individu yang bankrap sekarang menjalani kehidupan baru dengan tidak dibebani sebarang hutang. Kedua-dua bank tidak berpuas hati dan membantah tetapi KPI menolak bantahan tersebut kerana undang-undang memperuntukkan kepada individu yang bankrap untuk menjalani kehidupan normal yang bebas hutang selepas beliau menjalani `hukuman’nya.

Bekas KPI negara, Mokhtarudin, pernah berkata. "`Mana ada undang-undang lain yang memberikan pelepasan kepada orang berhutang yang membayar sebahagian kecil sahaja daripada hutangnya? Inilah the beauty of bankruptcy.” 

KPI hanya akan mengambil dan mentadbir apa-apa harta yang cukup untuk membayar hutang yang membuatkan individu yang berhutang itu bankrap sahaja. Jika beliau memiliki hutang sebanyak RM100,000, harta yang diambil adalah setakat RM100,000 sahaja.

Jika individu yang bankrap mempunyai hanya satu rumah, KPI akan menimbangkan supaya rumah itu tidak ditadbir kerana tidak mahu mendatangkan kemudaratan kepada keluarga individu yang bankrap tersebut. KPI juga tidak merampas semua deposit sebaliknya akan menasihatkan misalnya TNB, Telekom atau Jabatan Bekalan Air supaya memindahkan nama kepada isteri atau suami individu yang bankrap itu kerana adalah menjadi tanggungjawab KPI untuk memastikan individu yang bankrap tidak dibebani sebarang liabiliti tambahan.

`MdI bukanlah pemungut hutang bagi pemiutang, lagi pula jika pun mereka diisytiharkan bankrap, nasihat kami ialah; dunia masih belum kiamat.


"Kami akan membantu mereka untuk melihat semula cahaya di hujung terowong," - Mokhtarudin. Bekas KPI

Saya diisytiharkan bankrap, apa yang akan berlaku terhadap harta saya?


Semua harta hendaklah terletak hak kepada KPI kecuali yang disenaraikan di bawah Seksyen 48(1)(a)(ii) Akta Kebankrapan 1967. Ini termasuk alat perdagangan dan pakaian keperluan isteri dan anak-anak untuk nilai yang tidak melebihi RM5,000.00. Semua harta yang terletak hak kepada KPI akan dijual dan hasil akan diagihkan kepada pemiutang yang memfailkan bukti hutang.

Kesan bankrap terhadap individu





Apa itu harta?

“Harta” termasuk wang, barang-barang, perkara dalam tindakan, tanah, rumah, kenderaan dan setiap perihal harta; sama ada hartanah atau harta peribadi, sama ada berada dalam Malaysia atau di tempat lain. Harta termasuk juga obligasi, ismen dan setiap perihal estet, faedah dan keuntungan, sekarang atau akan datang, terletak hak atau luar jangkaan, timbul dari atau bersampingan dengan harta seperti yang ditakrifkan di atas.

Untuk rujukan yang lebih lanjut, anda boleh dapatkan booklet MdI dalam bentuk PDF di sini.


Tetapi kita harus saling mengingati:

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunaskan dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” (HR. Ibnu Majah).


Berniat tidak melunasi hutang sama seperti pencuri:

“Siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) dalam status sebagai pencuri.” (HR. Ibnu Majah)

Kredit sumber: